WANITA yang diburu polis kerana memukul petugas CityCarPark dengan besi pengunci stereng, baru-baru ini. FOTO Ihsan Pembaca
WANITA yang diburu polis kerana memukul petugas CityCarPark dengan besi pengunci stereng, baru-baru ini. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Azizah Mokhtar


PETUGAS Sistem Tempat Letak Kereta Elektronik (SKLE) CityCarPark dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berdepan detik genting apabila diugut serta dipukul oleh seorang wanita yang berang selepas tayar kenderaannya dikapit di Kepong, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian pada 2.50 petang 4 Jun lalu, wanita itu didapati meletakkan Proton Saga dipandunya di tempat letak motosikal menyebabkan anggota penguat kuasa DBKL serta petugas SKLE mengambil tindakan mengapit tayar kenderaannya.

Selepas mengetahui tayar kenderaannya dikapit, wanita itu tidak berpuas hati dan cuba menawarkan bayaran RM50 sebagai penyelesaian ‘tepi’ untuk membuka alat pengapit terbabit.

Bagaimanapun, petugas SKLE dan anggota DBKL terbabit bertegas wanita itu perlu membayar denda RM80 bagi membuka alat pengapit menyebabkannya bertambah berang.

Menurut sumber, wanita, 30-an, itu kemudian bertindak mengugut hendak mencederakan kedua-dua petugas berkenaan dengan besi pengunci stereng.

“Wanita itu mengambil besi pengunci stereng dari dalam keretanya dan cuba memukul anggota DBKL terbabit, namun tidak berbuat demikian selepas melihat anggota terbabit mengeluarkan gari.

“Dia kemudian berpaling ke arah petugas SKLE sebelum memukul tangan dan kaki kirinya dengan besi pengunci stereng beberapa kali,” kata sumber itu.

CityCarPark adalah syarikat di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan yang dilantik DBKL untuk menguruskan tempat letak kenderaan di bahu jalan sekitar ibu negara.

Sumber itu berkata, wanita terbabit memukul kaki dan tangan petugas SKLE berusia 31 tahun terbabit berulang kali, namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Difahamkan, lelaki itu turut membuat laporan polis di Balai Polis Pantai pada keesokkannya selepas dinasihatkan oleh majikannya.

Dalam pada itu, SkyCarPark ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

Susulan kejadian itu, satu rakaman video turut tular di media sosial sejak dua hari lalu menunjukkan wanita terbabit yang memakai baju merah dan berseluar pendek hitam putih menengking petugas SKLE dan anggota DBKL serta tindakannya memukul menggunakan besi pengunci stereng.

Menerusi video berdurasi 40 saat itu, wanita terbabit turut mengugut mahu memecahkan kereta dipercayai milik DBKL selain mengugut memecahkan kepala petugas SKLE dan anggota DBKL terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pihak polis kini sedang mengesan wanita terbabit untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 7:03 PM