Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan kajian menyeluruh terhadap sistem kesihatan negara susulan penularan jangkitan Covid-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kajian itu terbahagi kepada dua fasa merangkumi unjuran serta usaha yang perlu diambil bagi tempoh sehingga tahun 2030.

"Fasa pertama yang sedang dilaksanakan pada masa ini bertujuan meneliti secara objektif dan menetapkan langkah utama yang perlu diambil bagi memperkukuh sistem sedia ada. Antara lain, fasa pertama bermatlamat menilai sistem kesihatan negara secara terbuka dan objektif.

"Fasa kedua pula akan menghasilkan pelan tindakan memperincikan segala langkah yang perlu diambil bagi mencapai objektif mewujudkan sistem kesihatan mampan dan bersedia menghadapi tekanan pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya, hari ini.

Selain mempunyai sistem kesihatan terbaik, Muhyiddin berkata, perpaduan rakyat berbilang kaum, agama dan wilayah juga menjadi asas penting kejayaan negara mengatasi krisis yang sedang melanda.

Selaras usaha memperkukuhkan perpaduan rakyat, katanya, kerajaan melancarkan Dasar Perpaduan Negara pada 15 Februari lalu bersama Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030.

PETUGAS barisan hadapan KKM membuat persiapan sebelum melakukan saringan Covid-19.
PETUGAS barisan hadapan KKM membuat persiapan sebelum melakukan saringan Covid-19.

"Dasar dan rangka tindakan yang pertama kali digubal itu menggariskan 41 anjakan strategik untuk dijadikan tumpuan di peringkat pelaksanaan bagi mencapai Hasrat 'Perpaduan dalam Kepelbagaian'.

"Layanan yang adil dan saksama untuk semua rakyat akan diteruskan menerusi pelbagai inisiatif penyatupaduan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 12:03 PM