Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat Malaysia supaya berwaspada terhadap manipulasi sentimen kaum oleh ahli politik.

Beliau berkata, ia adalah cabaran utama dalam hampir semua negara berbilang kaum.

Katanya, pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik melalui eksploitasi perasaan kaum perlu dielakkan.

"Kita sedar, rakyat negara ini tidak akan sekali-kali mengorbankan kesepaduan sosial dan perpaduan negara yang kita kecapi ini demi matlamat peribadi.

"Kerajaan juga tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan negara," katanya pada Majlis Pelancaran Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 yang disiarkan secara maya di Facebook Kementerian Perpaduan Negara, hari ini.

Berpegang kepada prinsip perpaduan itu, Muhyiddin berkata, kerajaan mewujudkan Kementerian Perpaduan Negara yang dipimpin Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

Tambah beliau, kementerian berkenaan menggalas tugas berat memastikan agenda perpaduan nasional dijayakan.

Melaluinya, katanya, Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 dihasilkan bagi menyokong strategi serta menetapkan aspirasi perpaduan yang ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Saya juga suka menekankan bahawa usaha mencapai perpaduan adalah suatu perjalanan yang jauh dan berliku.

"Justeru kita semua mesti sentiasa membetulkan niat dan memperkasa usaha bersama untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang kukuh teras perpaduannya, bukan saja untuk generasi masa kini, tetapi demi masa depan anak cucu kita kelak," katanya.

MUHYIDDIN ketika majlis pelancaran yang disiarkan secara maya di Facebook Kementerian Perpaduan Negara.
MUHYIDDIN ketika majlis pelancaran yang disiarkan secara maya di Facebook Kementerian Perpaduan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 10:21 AM