BANGUNAN Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Jalan Duta, Kuala Lumpur.
BANGUNAN Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kerajaan menyasarkan kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM143.9 bilion bagi 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, LHDN pada 2020 berjaya merekodkan jumlah kutipan cukai sebanyak RM123.09 bilion, iaitu lebih RM1.392 bilion atau 1.14 peratus lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan sebanyak RM121.7 bilion yang juga semakan sasaran kali ketiga oleh Kementerian Kewangan.

"Meskipun mendepani suasana ekonomi yang suram dan mencabar, LHDN sekali lagi membuktikan kemampuannya sebagai sebuah organisasi berprestasi tinggi dengan mengadaptasi norma baharu dalam menjalankan operasi percukaiannya.

"Saya mewakili Kementerian Kewangan mengucapkan syabas dan tahniah kepada LHDN dan seluruh pembayar cukai (Hasilian) kerana sudah mengharungi segala rintangan dan cabaran semasa dengan cekal dan penuh dedikasi.

"Kejayaan memperoleh jumlah kutipan cukai disasarkan ini membuktikan bahawa walaupun dalam suasana pandemik masih terdapat industri yang tidak terjejas, malah ada yang mendapat keuntungan besar kesan daripada pandemik ini.

"Namun begitu, kita bersyukur mereka ini memainkan peranan dengan baik, menyumbang dalam bentuk cukai yang dibayar demi menstabilkan kembali ekonomi negara," katanya di majlis perasmian Hari Hasil ke-25 secara maya di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Tengku Zafrul berkata, beliau yakin masih terdapat banyak ruang yang boleh diterokai oleh LHDN bagi meningkatkan lagi prestasi kutipan dengan memperluas jaringan pembayar cukai yang berpotensi, mengenal pasti industri dan sektor tertentu yang selama ini menjauhkan diri dari radar agensi percukaian ini.

"Mudah-mudahan, dengan meneroka peluang baharu, sasaran kutipan yang disasarkan oleh pihak kerajaan kepada LHDN tahun ini yang berjumlah RM143.9 bilion dapat dicapai.

"Adalah penting di sini untuk LHDN meletakkan dirinya dalam kelompok perkhidmatan penting kepada negara dan saya menyokong sepenuhnya kedudukan LHDN sebagai salah satu agensi yang disenaraikan sebagai essential services dalam menghadapi krisis kesihatan ini.

"Justeru, keputusan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN dan barisan Pengurusan Tertinggi LHDN untuk beroperasi pada kapasiti 100 peratus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amatlah saya alu-alukan, lebih-lebih lagi dalam usaha memastikan operasi kutipan cukai dapat dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya.

Menurutnya, sungguhpun LHDN beroperasi dengan kehadiran Hasilian pada kadar 100 peratus, pihaknya difahamkan bahawa fleksibiliti dan kemudahan untuk bertugas di rumah tetap diberikan kepada Hasilian yang menghadapi masalah kesihatan atau kekangan penjagaan anak.

"Malah, mana-mana bahagian atau Hasilian yang boleh melaksanakan tugasan yang diberikan di rumah, tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan atau dapat mencapai tahap produktiviti yang sama seperti bekerja di pejabat adalah dibenarkan untuk bertugas sepenuhnya dari rumah," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 11:04 AM