GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kerajaan khususnya Kementerian Kewangan yakin Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mampu untuk mengutip cukai seperti ditetapkan iaitu RM127 bilion tahun ini serta sasaran kutipan cukai langsung LHDNM RM143.9 bilion bagi 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebagai pentadbir cukai langsung negara, fungsi serta peranan LHDNM sangat penting bagi memastikan kutipan cukai sentiasa berada di tahap optimum, walaupun aktiviti pemungutan dalam situasi pandemik Covid-19 ini begitu mencabar demi mengimbangi kesusahan dihadapi peniaga terjejas dan tanggungjawab sebagai pentadbir cukai.

Katanya, keupayaan LHDNM beroperasi dengan berkesan dalam memungut hasil negara pasti memudahkan kerajaan merealisasikan agenda pemulihan dan pembangunan negara seperti digariskan dalam Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

"Pelan Transformasi Hasil yang dibangunkan LHDNM juga berjaya meningkatkan kecekapan keseluruhan proses kerja percukaian. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh di LHDNM dengan bantuan data saintis dalaman semestinya memberi manfaat berganda kepada negara dan LHDNM, antaranya mengenal pasti pembayar cukai berisiko tinggi dan menyusun strategi percukaian berfokus dan bersasar berdasarkan gelagat pembayar cukai.

"Di samping itu, kewujudan Transformasi Hasil membolehkan LHDNM untuk segera mengadaptasi kepada persekitaran kerja norma baharu apabila agensi kerajaan diminta untuk melaksanakan bekerja dari rumah (BDR).

"Ketersediaan tinggi ini mengurangkan gangguan kepada pembayar cukai dalam melaksanakan tanggungjawab percukaian mereka.

"Saya menyeru kepada semua warga kerja LHDNM terus melaksanakan tugas bagi memastikan kerajaan mempunyai dana mencukupi untuk membiayai perbelanjaan negara," katanya dalam ucapan sempena pelancaran Hari Inovasi dan Integriti LHDNM 2020 secara maya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 8:08 AM