JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) mematahkan sindiket  pengilangan (pembotolan) minuman keras tiruan di Kawasan Perindustrian Sungai Choh dan menemui alat-alat pemprosesan dan sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tiruan. FOTO IHSAN JKDM
JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) mematahkan sindiket pengilangan (pembotolan) minuman keras tiruan di Kawasan Perindustrian Sungai Choh dan menemui alat-alat pemprosesan dan sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tiruan. FOTO IHSAN JKDM
Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang: Bukan hanya pakaian menjadi mangsa sindiket cetak rompak malah minuman keras berjenama terkenal turut cuba dipalsukan oleh sindiket tempatan.

Terbaru Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membongkar sindiket yang disyaki terbabit dalam aktiviti mengilang dan membotolkan minuman keras tiruan di Rawang, Selangor Isnin lalu.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, anggota JKDM membuat serbuan terhadap sebuah premis di Kawasan Perindustrian Sungai Choh dan menemui alatan pemprosesan arak tiruan dan sejumlah minuman keras pelbagai jenama disyaki tiruan.

Menurutnya, pegawai JKDM turut menemui pelekat setem duti cukai palsu yang ditampal pada botol-botol minuman keras sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

"Minuman keras tiruan dirampas dianggarkan bernilai RM227,527.22 dengan anggaran cukai sebanyak RM1,912,967.28," katanya.

Beliau berkata, seramai empat lelaki bukan warganegara berumur lingkungan 23 tahun hingga 39 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu dalam kes berasingan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) berjaya menumpaskan

sindiket yang disyaki penyeludupan minuman keras di Pelabuhan Utara, Pelabuan Klang, Rabu lalu.

Ia hasil tindakan JKDM menahan sebuah konten yang disyaki menyeludup dagangan minuman keras.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui pelbagai minuman keras seludup dianggarkan bernilai RM126,720.

"Minuman keras diklasifikasi sebagai dagangan terlarang mengikut Butiran 3, Jadual Ketiga / Bahagian II,

Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017," katanya tadi.

Abdul Latif berkata, ejen perkapalan yang disyaki terbabit sudah dikenal pasti dan tindakan selanjutnya akan diambil.

"JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 5:51 PM