J Arul Kumar menunjukkan garis panduan berhubung penyediaan tempat penginapan pekerja kilang yang dikeluarkan kerajaan negeri. FOTO Mohd Amin Jalil
J Arul Kumar menunjukkan garis panduan berhubung penyediaan tempat penginapan pekerja kilang yang dikeluarkan kerajaan negeri. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan membuka kertas siasatan terhadap 11 majikan di negeri ini yang didapati melakukan kesalahan dan tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan J Arul Kumar berkata, kertas siasatan itu dibuka atas tiga kesalahan.

Katanya, kesalahan pertama membabitkan Seksyen 24 D iaitu menyediakan tempat penginapan pekerja tanpa perakuan daripada JTK negeri.

"Kesalahan kedua membabitkan Seksyen 24/H iaitu bangunan yang digunakan bagi penyediaan tempat penginapan berkenaan tidak sesuai untuk kediaman manusia mengikut undang-undang bertulis.

"Manakala ketiga membabitkan kesalahan di bawah kelayakan penginapan minimum seperti mana yang diperuntukan dalam Akta 446.

"JTK Negeri Sembilan dalam proses melengkapkan kertas siasatan terhadap ketiga-tiga kesalahan yang dilakukan majikan dan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk dibawa ke mahkamah," katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Arul Kumar berkata, setiap majikan perlu menyediakan tempat penginapan standard minimum terhadap pekerja mereka sama ada tempatan dan warga asing.

Beliau berkata, operasi pemeriksaan oleh JTK negeri ke kawasan tempat penginapan pekerja sektor perkilangan dan perindustrian dilakukan setiap hari.

"Ia bertujuan memastikan sejauh mana majikan mematuhi undang-undang ditetapkan kerajaan iaitu berpandukan Akta 446 yang mula dikuatkuasakan pada September tahun lalu.

"Kerajaan negeri juga turut mengeluarkan satu garis panduan berhubung perkara ini pada 9 Disember tahun lalu bagi membantu majikan mematuhi standard minimum penyediaan penginapan berkenaan yang dibaca sekali dengan kandungan Akta 446," katanya.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai berkata, berpandukan garis panduan berkenaan, kerajaan negeri sudah menetapkan beberapa jenis bangunan yang diluluskan bagi tujuan menyediakan tempat penginapan atau penginapan berpusat pekerja terbabit.

Katanya, bangunan itu membabitkan rumah jenis teres, berkembar, banglo, pangsapuri, rumah pangsa, kondominium, rumah bandar, rumah kedai, pejabat, rumah kampung, kabin atau rumah kongsi dan juga bangunan lain yang diubah suai bagi kegunaan tempat penginapan.

"Paling penting ia perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih untuk membolehkan majikan memohon kepada JTK bagi mendapatkan kebenaran penggunaan bangunan bagi tempat penginapan pekerja.

"Sebelum ini timbul isu berkaitan rumah kedai dan kedai pejabat yang tidak boleh dijadikan tempatan penginapan pekerja, justeru garis panduan dikeluarkan itu dapat memperjelaskan isu berkenaan," katanya.

Mengulas mengenai Kluster Industri Sungai Gadut membabitkan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut Senawang, kelmarin, Arul berkata, kilang terbabit mempunyai 1,677 pekerja membabitkan 375 tempatan dan 1,302 warga asing.

"Daripada jumlah itu, 1,432 pekerja membabitkan 318 tempatan dan 1,114 rakyat asing positif Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 2:52 PM