ZAMROSE bercakap dengan Rahim selepas Pelancaran Projek Jiwa Murni. FOTO Mohd Roji Kawi
ZAMROSE bercakap dengan Rahim selepas Pelancaran Projek Jiwa Murni. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


Simunjan: Pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara tidak menghalang Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk meneruskan Projek Jiwa Murni (PJM) yang dirancang bagi membantu rakyat.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, sebagai langkah untuk mengelak wabak berkenaan, program dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan dilaksanakan di luar kawasan zon merah.

Justeru katanya, wabak Covid-19 bukan alasan untuk menghentikan PJM kerana program itu menjadi landasan mengeratkan hubungan antara tentera dan rakyat yang menjadi satu daripada elemen penting dalam lima tonggak perintah ulung Panglima Tentera Darat.

"Sebab itu, kita meneruskan semua program yang sudah dirancang dan kita laksanakannya dengan SOP yang ketat.

"Tahun ini, sebanyak 56 program PJM dengan peruntukan sebanyak RM3 juta akan dilaksanakan TDM di seluruh negara," katanya pada sidang media selepas Pelancaran PJM Sempena Hari TDM Ke-88 di Kampung Gedong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Medan Timur TDM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; Panglima 1 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustapha dan Panglima 3 Briged Infantri, Brigadier Jeneral Datuk Azhar Ahmad.

Zamrose berkata, di Sarawak 22 program akan dirancang dengan 17 daripadanya dilaksanakan di kawasan Gedong.

"Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk melaksanakan program PJM itu dengan RM500,000 diagihkan di Gedong dan TDM menerusi Rejimen Askar Jurutera Diraja akan melaksanakannya," katanya.

Katanya lagi, selain program PJM, pihaknya juga tetap meneruskan latihan peperangan bagi mengelak anggota membuang masa begitu sahaja.

"Kita kena isi masa mereka, kalau tidak, kita bimbang ada sahaja benda pelik yang mereka buat," katanya.

Sementara itu, penerima bantuan program PJM, Rahim Bujang Ahmad , 41, berkata, beliau kagum dengan usaha anggota tentera yang bekerja siang dan malam untuk menyiapkan rumahnya dalam tempoh empat hari.

Rahim yang menderita penyakit angin ahmar berkata, impiannya dan isteri serta empat anak untuk mendiami rumah yang lebih selesa kini tercapai menerusi bantuan tentera itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 3:52 PM