Keadaan bilik rawatan di Hospital Medan ATM Kapit yang akan beroperasi Isnin ini. FOTO IHSAN SEL PERHUBUNGAN RAYA 1 DIV
Keadaan bilik rawatan di Hospital Medan ATM Kapit yang akan beroperasi Isnin ini. FOTO IHSAN SEL PERHUBUNGAN RAYA 1 DIV
Mohd Roji Kawi


Kapit: Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibuka di Dewan Masyarakat Melayu Kapit di sini, mampu memuatkan 40 katil pada satu masa.

Hospital berkenaan dibuka di bandar pentadbiran kawasan hulu Rajang itu bagi menyokong Hospital Kapit merawat kes bukan Cobid-19 serta pesakit luar.

Panglima 1 Divisyen Infantri, Tentera Darat Malaysia (TDM), Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata, hospital berkenaan dijangka mula beroperasi Isnin ini.

Beliau berkata, pihaknya mendapat bantuan sepenuhnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mengkoordinasi penerbangan membawa aset perubatan dari Kuching dan Kuala Lumpur sekali gus memudahkan proses penubuhan hospital medan itu.

"Seramai tujuh pegawai perubatan dan 35 pembantu perubatan ATM bertanggungjawab dalam pengoperasian hospital itu dan turut dibantu staf perubatan dari Hospital Kapit.

"Hospital Medan ATM ini akan mengurangkan beban rawatan pesakit bukan Covid-19 khususnya di Kapit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkafli mengiringi Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang bersama Panglima 9 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Shamshor Jaafar meninjau perkembangan penubuhan hospital berkenaan di Dewan Masyarakat Melayu Kapit, hari ini.

Dalam tinjauan itu, mereka diberi taklimat pengoperasian oleh Pegawai Memerintah 1 Batalion Ubat yang juga Komander Misi Hospital Medan ATM Kapit, Leftenan Kolonel Dr Saiful Ju Ahmad.

Usaha kini sedang giat dijalankan oleh tujuh pegawai dan 69 anggota dari 9 Briged Infantri serta 13 anggota Rejimen 510 Askar Wataniah dengan bantuan agensi awam dan swasta untuk mengubah suai Dewan Masyarakat Melayu Kapit mengikut spesifikasi hospital medan.

Dzulkafli berkata, 1 Divisyen Infantri komited dalam memberikan bantuan sewajarnya kepada mana-mana pihak yang memerlukan dalam apa jua keadaan.

"Tawaran bantuan penubuhan Hospital Medan ATM oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang kepada kerajaan Sarawak membuktikan bahawa ATM sentiasa mengambil berat perkembangan semasa ancaman Covid-19 yang semakin meningkat di seluruh negara.

"Usaha murni ini juga adalah selaras dengan dengan hasrat Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-28, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain melalui perintah ulungnya yang menekankan peningkatan hubungan tentera dan masyarakat awam," katanya.

Menurutnya lagi, Hospital Medan ATM Kapit itu adalah yang kedua selepas kejayaan pengoperasian Hospital Medan ATM di Tawau, Sabah sekali gus menepati tema Hari Tentera Darat Ke-88, `Sinergi Tentera Darat dan Rakyat, Tunjang Kedaulatan Negara'.

"Kita berharap agar penubuhan Hospital Medan ATM Kapit ini dapat memulihkan semangat penduduk setempat yang terkesan serta mengembalikan Kapit kepada kawasan zon hijau bebas dari jangkitan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 5:04 PM