ZULKIPLE (tengah) menyampaikan sumbangan Tabung Zakat ATM kepada Stephen (kiri) pada majlis berbuka puasa di Kem Penrissen, Kuching, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
ZULKIPLE (tengah) menyampaikan sumbangan Tabung Zakat ATM kepada Stephen (kiri) pada majlis berbuka puasa di Kem Penrissen, Kuching, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


PERUBAHAN pucuk pimpinan negara tidak akan mengubah program kebajikan yang sudah dirancang untuk anggota tentera di seluruh negara.

Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, banyak program kebajikan membabitkan pendidikan, perubatan dan perumahan sudah dirancang dengan teliti sekali gus tiada sebab perlu dihentikan.

“Perkara ini diberi jaminan oleh Menteri Pertahanan (Mohamad Sabu) dan kita akan meneruskannya demi kebajikan anggota kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Pemerintahan Medan Timur di perkarangan Masjid Solehuddin Al-Ayyubi di Kem Penrissen, Kuching, malam ini.

Turut hadir, Panglima Medan Timur Leftenan Jeneral Datuk Wira Mohd Zaki Mokhtar, Panglima 1 Divisyen Infantri Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw dan Panglima Pasukan Petugas 450 Mejar Jeneral Zulkapri Rahamat.

Sementara itu, Zulkiple menggesa semua anggota TDM supaya kembali memberi tumpuan kepada tanggungjawab utama memastikan keselamatan negara terjamin.

“Pilihan raya sudah selesai dan negara sudah mengalami perubahan pentadbir, tetapi bagi kita paling utama ialah menumpukan perhatian kepada tugas dan tanggungjawab utama yang diamanahkan kepada kita sejak dahulu lagi.

“Bagi meneruskan tugas murni ini, kita harus mengukuhkan barisan untuk memastikan peranan kita berkesan dan bagi mencapai kejayaan, kita harus mengukuhkan kekuatan sebagai satu pasukan bagi menghadapi sebarang ancaman yang menjejaskan keselamatan negara,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengagihkan sumbangan daripada Tabung Zakat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk lapan masjid dan 10 surau dalam kawasan 1 Divisyen Infantri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 10:33 PM