DIGI menyediakan WiFi 4G percuma di 12 PPR bagi membantu pelajar mengikuti PdPR. FOTO ihsan Digi.
DIGI menyediakan WiFi 4G percuma di 12 PPR bagi membantu pelajar mengikuti PdPR. FOTO ihsan Digi.
Muhaamad Hafis Nawawi


Subang Jaya: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) menyediakan WiFi 4G percuma di 12 Program Perumahan Rakyat (PPR) di Perlis, Perak, Terengganu, Melaka dan Johor bagi membantu pembelajaran dalam talian kepada pelajar dalam kalangan B40 hingga April ini.

Digi dalam kenyataannya berkata, akses Internet percuma disediakan di PPR itu membolehkan ribuan pelajar mengikuti kelas dalam talian melalui program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurutnya, dua bulan lalu, Digi memasang penghala tanpa wayar (wireless router) di kemudahan awam dalam kawasan PPR seperti perpustakaan komuniti, bilik pejabat dan surau, bagi memastikan pelajar B40 mempunyai akses kepada Internet berkelajuan tinggi berkualiti untuk mengikuti sesi kelas dalam talian tanpa sebarang gangguan.

"Di samping itu, 11 Pusat Internet Komuniti (PIK) yang dikendalikan Digi di Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan dan Johor melanjutkan waktu operasinya dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari untuk kemudahan pelajar.

"Pusat terbabit memberi akses kepada pelajar terhadap sumber pembelajaran tambahan seperti Jom Tuisyen iaitu sebuah platform e-pembelajaran terkemuka di Malaysia, yang mengandungi koleksi video interaktif pelbagai bahasa merangkumi lebih daripada 180 mata pelajaran teras dan elektif, berpandukan sukatan pelajaran ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya.

Menurutnya, sejak awal tahun ini, lebih 150 sesi Jom Tuisyen yang memberi manfaat kepada hampir 3,000 pelajar bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijalankan di PIK.

Katanya, sebagai sokongan tambahan bagi menampung keperluan rakyat terhadap kemudahan Internet dan pendidikan dalam masa mencabar ini, Digi mengusahakan pemberian data 30GB sebulan (1GB setiap hari) secara percuma kepada semua pelanggannya.

"Ia bagi tujuan produktiviti dan pembelajaran sejak April tahun lalu. Pemberian data ini melebihi peruntukan data bulanan dalam pelan sedia ada mereka.

"Sehubungan itu, pada Januari tahun ini Digi memperkenalkan Pakej Data Khas untuk pelajar lepasan SPM, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT), dengan menawarkan 15GB pas data prabayar serendah RM20 sebulan," katanya.

Semua inisiatif itu sebahagian daripada komitmen Digi untuk terus menyokong usaha kerajaan dalam memberikan bantuan kemudahan Internet kepada isi rumah B40 seperti diumumkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 10:06 PM