FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Cheng mempersoalkan rasional anggota keselamatan membawa senjata api ketika rondaan pematuhan adalah satu tindakan kurang bijak dan berbaur politik.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Datuk Halim Ishak berkata, pihaknya kesal apabila banyak tohmahan dan kecaman dilontarkan kepada profesionalisme pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.

Menurutnya, isu itu tidak perlu dipolitikkan dan adalah amat memalukan apabila kenyataan 'kurang bijak' dan berbaur politik dikeluarkan seorang individu bertaraf wakil rakyat yang mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat untuk menguatkuasakan kedaulatan undang-undang di dalam negara.

"MCCF turut memberikan teguran keras kepada mana-mana pihak yang ingin memburukkan nama baik PDRM selaku institusi tertua dan mencabar pihak polis yang menjalankan tugas mereka demi keamanan dan keselamatan rakyat dan negara," katanya yang juga veteran pasukan VAT69 PDRM.

Selasa lalu, Chin Chen mempersoalkan tindakan anggota PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa senjata semasa menjalankan operasi pemantauan dalam tokong Cina adalah keterlaluan, biadab dan tidak sensitif.

Halim berkata, maruah veteran polis dan tentera juga seakan tercabar dengan kenyataan dilemparkan ke atas agensi pasukan keselamatan oleh pihak yang tiada semangat patriotisme dan jati diri.

"Sekiranya ada terdapat salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota polis maka sila tampil untuk membuat laporan polis agar mereka yang terlibat diambil tindakan yang setimpal.

"Ketua Polis Negara tidak perlu untuk meminta maaf malah melayan desakan ADUN Bilut, sebaliknya tindakan yang lebih berani perlu dilakukan dalam menghapuskan kegiatan penjenayah bersenjata api yang dilindungi oleh sindiket-sindiket tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 5:06 PM