Siti Rohana Idris

Kota Bharu: "Pergi lah cari ilmu (dalam pusat pemulihan), balik nanti ayoh (ayah) harap (anak) dapat jadi tok bilal, jadi orang berguna," pesan seorang bapa kepada dua anak lelakinya yang ditahan penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), hari ini.

Dalam linangan air mata, warga emas itu menitipkan pesanan berkenaan selepas dua anak lelakinya yang khayal akibat pengambilan pil kuda dibawa keluar dari rumah di Kampung Tegayong di sini, pada 10.30 pagi.

Ketika ditahan, Zul (bukan nama sebenar), 29, mengaku dia sudah menagih dadah sejak lima tahun lalu sambil mendakwa ia untuk 'tenaga' bagi mengerjakan sawah keluarga.

"Begitu juga dengan adik yang sebelum ini bekerja di ladang di Gua Musang, mengambil pil kuda kerana melakukan kerja berat dan kami ingin dapatkan tenaga," katanya.

DUA beradik yang berusia 29 dan 27 tahun ditahan oleh anggota AADK dalam keadaan khayal kesan daripada pengambilan pil kuda di Kampung Tegayong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DUA beradik yang berusia 29 dan 27 tahun ditahan oleh anggota AADK dalam keadaan khayal kesan daripada pengambilan pil kuda di Kampung Tegayong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dalam serbuan di Kampung Kedai Buloh, di sini, anggota AADK terpaksa mengejar seorang lelaki yang melarikan diri selepas terkejut melihat rumah rakannya yang juga penagih dadah diserbu.

Lelaki itu yang menunggang motosikal meninggalkan kenderaannya dan berlari dengan berkaki ayam serta gagal dikesan.

Rakannya berusia 34 tahun ditahan di luar rumah serta dipercayai baru pulang daripada membeli bekalan dadah.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Kota Bharu, Muhamad Che Ismail berkata, pihaknya berjaya menahan enam lelaki berusia antara 26 hingga 34 tahun dalam operasi tiga jam itu yang bermula 10 pagi.

Katanya, turut ditahan penagih dadah orang kurang upaya (OKU) fizikal dan seorang lagi yang pernah mendapatkan rawatan penyakit mental.

"Operasi berlangsung di lima lokasi berasingan di daerah ini dengan semua mereka positif methampethamine. Penahanan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 3:09 PM