Guru lelaki yang khayal pil kuda ditahan di rumah mentuanya hari ini. FOTO Ihsan AADK Besut
Guru lelaki yang khayal pil kuda ditahan di rumah mentuanya hari ini. FOTO Ihsan AADK Besut
Nurul Fatihah Sulaini


GURU lelaki yang khayal pil kuda ‘hanyut’ dalam bunyi muzik kuat dipasangnya di radio sehingga tidak menyedari kediamannya diserbu penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Pegawai AADK Daerah Besut, Nor Hafizza Mat Zin berkata, guru sekolah rendah itu ditahan dalam serbuan di rumah mentuanya di Kuala Besut, Besut 9 pagi tadi oleh sepasukan pegawai dan anggota AADK selepas menerima maklumat awam.

Beliau berkata, ketika serbuan, lelaki itu sedang khayal dan leka mendengar bunyi muzik kuat, sehingga tindakan pasukannya mengetuk pintu rumah itu berkali-kali tidak disedari.

“Enam pegawai dan anggota penguat kuasa AADK mengambil masa hampir 10 minit mengetuk pintu rumah sebelum dibuka.

“Hasil maklumat awal, lelaki itu dipercayai terbabit dengan pil kuda sejak setahun lalu selepas dipengaruhi rakan hingga menyebabkan prestasi kerja merosot sebelum digantung tugas beberapa bulan lalu.

“Ujian saringan air kencing kemudian mendapati suspek positif pil kuda.

“Siasatan lanjut mendapati dia ada lima anak berusia antara dua hingga sembilan tahun namun tinggal berasingan dengan isteri sejak enam bulan lalu,” katanya ketika dihubungi.

Nor Hafizza berkata, guru itu mengaku mengambil pil kuda sebiji setiap hari sejak setahun lalu.

Katanya, dalam operasi sama, seorang lagi lelaki berusia 20 tahun yang mengalami ketagihan pil kuda turut ditahan setengah jam kemudian di lokasi berhampiran.

“Remaja lelaki itu dipercayai pernah bertindak agresif termasuk melakukan kekerasan kepada orang tuanya.

“Dia disyaki mengambil pil kuda dan Erimin 5. Ujian saringan air kencing mendapatinya positif pil kuda.

“Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 3:28 PM