Zaid Salim

Kuala Berang: Suasana di penempatan Felda Tersat di sini, sunyi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu bermula 12.01 tengah malam tadi.

Tinjauan di kawasan itu mendapati kawalan ketat dilakukan anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) termasuk memasang kawat duri di pintu masuk bagi mengawal pergerakan keluar masuk di kawasan berkenaan.

Walaupun ada yang cuba untuk keluar dengan memberi pelbagai alasan, namun mereka akur dan memberi kerjasama selepas mendapat penjelasan daripada anggota yang bertugas.

Tinjauan sebahagian warga Bangladesh sama ada yang tinggal di rumah sewa atau rumah kongsi dikuarantin di tapak Projek Pembinaan Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kuala Berang susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)  bermula hari ini hingga 17 Februari depan. FOTO GHAZALI KORI

Tinjauan mendapati beberapa kenderaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Penerangan sahaja yang dibenarkan keluar masuk ke kawasan berkenaan.

Semalam, kerajaan mengumumkan dua lokaliti di daerah ini iaitu Felda Tersat dan Tapak Bina Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikenakan PKPD bermula hari ini sehingga 17 Februari nanti.

Sehingga 1 Februari lalu, KKM sudah melaksanakan 420 ujian saringan Covid-19 dan sebanyak 45 kes didapati positif virus berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 12:03 PM