Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri menyediakan 20 Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) bagi kemudahan pelajar untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara percuma mulai Ahad depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata, keutamaan akan diberikan kepada pelajar yang tidak mempunyai kemudahan internet.

Katanya, pihaknya menyediakan antara 10 hingga 20 komputer termasuk peralatan di semua Pintar bagi membolehkan pelaja mengikuti PdPR secara percuma.

"Kerajaan negeri membelanjakan RM700,000 untuk melakukan kerja menaik taraf capaian internet dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pelajar.

ARIFFIN (tengah) ketika mengadakan sidang media mengenai pembukaan pusat internet bagi mengatasi masalah pelajar ikuti PdRM di Wisma Darul Iman, hari ini. FOTO Baharom Bakar
ARIFFIN (tengah) ketika mengadakan sidang media mengenai pembukaan pusat internet bagi mengatasi masalah pelajar ikuti PdRM di Wisma Darul Iman, hari ini. FOTO Baharom Bakar

"Kerajaan negeri membenarkan Pintar beroperasi semula, selepas ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan Covid-19 sejak Mac tahun lalu," katanya pada sidang media Pintar Terengganu sebagai Hub PdPR, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat berkata, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), hanya lima pelajar dibenarkan berada dalam premis untuk mengikuti pengajian PdPR pada satu-satu masa.

Katanya, kerajaan negeri mewujudkan sebanyak 37 Pintar di seluruh negeri, tetapi hanya 20 premis sahaja dibenarkan beroperasi untuk fasa pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 2:30 PM