GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Seramai 7,629 murid di kalangan keluarga B40 di negeri ini dikategorikan tercicir daripada mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) setakat Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu Satiful Bahri Mamat berkata, ia membabitkan empat peratus daripada 174,510 murid B40 yang direkodkan di negeri ini sejak penutupan sekolah susulan pandemik Covid-19.

"Istilah cicir di sini bermaksud mereka tidak ikuti mana-mana sesi PdPR pada tempoh berkenaan.

"Perkara ini diambil serius kerajaan negeri dengan beberapa tindakan dijalankan pihak sekolah termasuk mengadakan kunjungan atau panggilan telefon kepada keluarga murid-murid berkenaan.

"Selain itu, sesi libat urus dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut membuka ruang bagi memberi bantuan khususnya dalam menjejaki murid-murid yang gagal mengikuti PdPR ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis oleh Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (BN-Seberang Takir) mengenai keupayaan pelajar di Terengganu dalam memenuhi keperluan PdPR khususnya dalam kalangan B40 pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini, hari ini.

Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka berkata, bagi mengelak keciciran murid, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu membangunkan satu sistem bagi memantau pembabitan pelajar dalam PdPR menggunakan tiga kaedah.

"Ia adalah PdPR secara dalam talian sepenuhnya, PdPR secara luar talian seperti edaran bahan bercetak terutama kepada murid yang tiada peranti dan akses internet dan gabungan PdPR secara dalam talian atau luar talian," katanya.

Menurutnya, selain itu kerajaan negeri turut menyediakan 20 Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) bagi kemudahan pelajar untuk mengikuti PdPR secara percuma.

Katanya, pusat berkenaan menawarkan kemudahan komputer dan akses kepada internet selain memberi bantuan peranti, komputer dan tablet kepada pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 5:28 PM