ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sebanyak 55 operasi sanitasi awam untuk pencegahan penularan Covid-19 sudah dilaksanakan semalam meliputi 34 zon merah, dua zon jingga, tiga zon kuning dan satu zon hijau di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara kumulatifnya, sebanyak 15,154 operasi sanitasi yang merangkumi 146 zon dilakukan sejak 30 Mac 2020.

Beliau berkata, operasi sanitasi membabitkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk di Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan.

"Semalam, operasi sanitasi dilaksanakan 289 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 190 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 24 anggota lain-lain agensi serta turut membabitkan 56 jentera JBPM," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini, hari ini.

Berkenaan arahan kuarantin wajib pula, katanya, semalam, seramai 1,210 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.

"Sejak 24 April 2020, seramai 114,306 individu pulang ke tanah air dan semua ditempatkan di 77 hotel dan 13 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

"Sehingga kini, seramai 105,799 orang dibenarkan pulang manakala 477 lagi sudah dibawa ke hospital," katanya.

Sementara itu, katanya, anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat sembilan pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara, semalam.

Ismail Sabri berkata, pemeriksaan mendapati, lapan tapak binaan terbabit mematuhi SOP manakala satu lagi tidak patuh.

Menurutnya, secara keseluruhan CIDB sudah melakukan 14,853 pemeriksaan melibatkan 8,411 tapak binaan sejak 20 April 2020.

Berkenaan barang keperluan asas pula, katanya, pemantauan dan pemeriksaan oleh anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit serta pemborong mendapati bekalan makanan berada dalam keadaan stabil dan mencukupi. "Semalam, KPDNHEP membuat 731 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri peruncit (558), pemborong (144) dan pengilang (29).

"KPDNHEP juga melakukan 1,576 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Daripada jumlah itu, 1,561 premis mematuhi SOP, 13 diberi nasihat, satu premis diberi amaran manakala satu lagi premis dikompaun," katanya.

Sementara itu, katanya, atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Sungai Udang dan Kuarters Kakitangan, Melaka bermula 3 sehingga 16 Februari 2021. Menurutnya, pelaksanaan PKPD untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang berkenaan untuk mengawal penularan jangkitan dalam komuniti.

"SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan.

"KKM hari ini melaporkan situasi peningkatan kes positif di situ. Sehingga 31 Januari 2021, KKM melaksanakan 339 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 113 kes positif Covid-19 direkodkan yang membabitkan 79 tahanan, 22 kakitangan dan 12 ahli keluarga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 6:44 PM