Amir Abd Hamid dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kes harian Covid-19 merekodkan dua angka pada pertengahan Mei ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes harian berjaya melepasi kemuncak kes tertinggi pada 31 Januari lalu dengan 5,298 kes.

"Penurunan kes yang dilihat kini disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tiga minggu lalu.

"Sebelum ini kita jangkakan jumlah kes kembali menurun selepas pelaksanaan PKP dalam tempoh empat minggu, kini kita memasuki minggu ketiga dan baki seminggu itu kita mungkin lihat penurunan lagi kes Covid-19," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19, hari ini.

Beliau berkata, kes-kes di kebanyakan negeri juga dilihat terdapat penurunan nilai kebolehjangkitan (RT) atau R-naught (R0) iaitu Sabah kini dengan 0.81 dan Kelantan 0.77.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

"Kebanyakan kes di Kelantan berpunca daripada kes rentas negeri iaitu terdapat 31 kluster dikesan dan 96 peratus daripadanya membabitkan warganegara.

"Terengganu turut menunjukkan penurunan nilai RT iaitu 0.86 serta Sarawak 1.0 dan diharapkan penularan kes di Sarawak ini dapat dikawal,"katanya.

Dr Noor Hisham berkata, disebabkan nilai RT menunjukkan perkembangan baik, beliau meminta supaya masyarakat kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika perayaan Tahun Baharu Cina kelak.

"Jika rakyat Malaysia patuh kepada SOP, kita boleh menurunkan jumlah kes harian dan juga jangkitan Covid-19,"katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 7:38 PM