Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kerana ia antara penyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) rentas negeri menjadi penyebab beberapa negeri dan daerah hijau bertukar kuning serta merah.

Katanya, contoh boleh dilihat pada Disember lalu apabila rentas daerah dan negeri dibenarkan menyebabkan kes meningkatkan.

"Disember lalu di Kelantan yang sebelum itu negeri hijau bertukar merah kerana peningkatan rentas negeri untuk pulang ke kampung dan bercuti.

"Beberapa daerah yang hijau juga boleh bertukar kuning dan merah kerana rentas daerah dibenarkan," katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Menurutnya, lebih 10 kluster membabitkan rentas negeri dan daerah direkodkan KKM sebelum ini menyebabkan kerajaan tidak membenarkan tindakan itu buat masa ini.

Beliau berkata, penelitian laporan dan data dari masa ke masa akan dilaksanakan KKM sebelum ia dibentangkan bagi keputusan selanjutnya dibuat.

"Buat masa ini harap semua bersabar dan kerajaan akan dapatkan pandangan daripada KKM untuk sebarang perubahan," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan membenarkan pergerakan lebih 10 kilometer radius dari rumah masing-masing.

Katanya, keputusan itu juga termasuk kepada kawasan yang masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 5:51 PM