GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Rakyat di negeri ini diminta supaya tidak panik dengan peningkatan kes Covid-19 di Terengganu berikutan pergerakan rentas negeri sejak tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) negeri itu.

Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, kes Covid-19 yang dicatatkan di negeri ini masih terkawal dan tiada keperluan untuk mengadakan sekatan jalan raya atau pemeriksaan khusus terhadap perantau yang pulang ke kampung dan pelancong.

"Cuma kami sarankan kepada semua yang bergerak masuk ke negeri ini khususnya dari kawasan zon merah supaya menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) atau Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk kami buat penilaian risiko dan tindakan.

"Keadaan masih terkawal sekarang dan penduduk tidak perlu berasa cemas. Jika perlu berjaga-jaga sekalipun hanya di kawasan yang direkodkan mempunyai kes sahaja.

"Walaupun begitu, operasi prosedur standard (SOP) tetap perlu dipatuhi seperti digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Penjagaan Ke Rumah Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTSH) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif TDM Berhad Najman Kamaruddin dan Ketua Pengarah Eksekutif TDM Berhad Najman Kamaruddin.

Alias berkata, dia berharap orang ramai terutama pelancong yang datang ke Terengganu prihatin dengan tahap kesihatan masing-masing.

"Walaupun ada sekatan dan saringan di kawasan zon merah namun berkemungkinan ada kes yang terlepas pandang.

"Justeru saya berharap semua pihak terutama individu yang berada di kawasan zon merah atau kontak rapat terhadap kes positif Covid-18 tidak rentas negeri.

"Semua orang perlu jaga diri sendiri serta sayangkan ahli keluarga masing-masing, jika ada tanda-tanda kesihatan kurang baik, jangan rentas negeri," katanya.

Dalam perkembangan lain, KTSH menyediakan perkhidmatan KTSH Homecare dalam usaha membantu pesakit yang memerlukan rawatan di rumah.

"Seramai 20 kakitangan KTSH selain semua pegawai perubatan KTSH bersedia berkhidmat bagi memberikan perkhidmatan kepada inividu yang memerlukan.

"Caj perkhidmatan pula serendah RM60 dan ditentukan berdasarkan pakej yang disediakan," katanya.

ALIAS rasmi Perkhidmatan Penjagaan Ke Rumah KTSH

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 5:54 PM