GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kes kehamilan remaja bawah umur yang tidak berkahwin di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 23.3 peratus dalam tempoh enam tahun sejak 2014 hingga 2020.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pada 2014 sebanyak 35.6 peratus kes remaja hamil tidak berkahwin dicatatkan namun peningkatan ketara dicatatkan pada 2020 apabila mencapai 58.9 peratus.

Beliau berkata, sebanyak 34.5 peratus daripada rekod yang dibuat pada 2020 mendapati remaja hamil masih dalam usia persekolahan iaitu serendah usia 10 tahun hingga 17 tahun.

"Hasil tinjauan dan analisis awal Majlis Pembangunan Sosial melalui statistik dan data kehamilan remaja, pelbagai faktor dikenal pasti sebagai punca kehamilan remaja, ia termasuk pergaulan bebas, pengaruh dadah dan substance serta jenayah seksual.

"Turut menyumbang kepada masalah itu ialah kawalan ibu bapa atau penjaga yang longgar, masalah keluarga, kemiskinan keluarga, keinginan untuk hidup mewah, pendedahan awal kepada kandungan media sosial, pengetahuan pendidikan seksual yang rendah, keciciran daripada sekolah serta kurang pendidikan agama dan nilai moral," katanya.

Beliau mendedahkan perkara itu pada sidang media selepas Mesyuarat One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) Peringkat Negeri Sarawak di pejabatnya, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, pada 2020 saja, pihaknya mendapati sebanyak 96 peratus daripada 2,099 kes kehamilan remaja di Sarawak membabitkan mereka yang tercicir persekolahan.

"Kehamilan kalangan remaja tidak bersekolah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.77 peratus pada 2020 iaitu sebanyak 96.17 peratus berbanding 95.4 peratus pada 2014," katanya.

Katanya, Samarahan mencatatkan peratus tertinggi remaja hamil di bawah usia 16 tahun mengikut bahagian tahun lalu dengan 8.8 peratus diikuti Kapit (8.5 peratus) dan Betong (8.0 peratus).

Bagaimanapun katanya, secara terperinci, antara tahun 2014 hingga 2020, tiga bahagian merekodkan bilangan kes remaja hamil tertinggi iaitu Kuching, Sibu dan Miri.

"Secara keseluruhan dalam tempoh itu, Kuching merekodkan 3,599 kes remaja hamil, Sibu sebanyak 2,387 kes manakala bahagian Miri pula sebanyak 2,537 kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 4:29 PM