EMPAT motosikal curi yang dirampas dalam serbuan tangkapan terhadap dua penganggur di di sekitar Ampang dan Pandan Indah pada 26 Januari lalu. FOTO ihsan polis
EMPAT motosikal curi yang dirampas dalam serbuan tangkapan terhadap dua penganggur di di sekitar Ampang dan Pandan Indah pada 26 Januari lalu. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Ampang: Curi motosikal dan dijual bagi menampung 'belanja' membeli dadah. Itu antara kegiatan dua penganggur yang dipercayai aktif melakukan jenayah di sekitar daerah ini.

Dua suspek terbabit bagaimanapun berjaya diberkas hasil serbuan polis di sekitar Ampang dan Pandan Indah, di sini, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejayaan memberkas suspek susulan tindakan sepasukan anggota Balai Polis Ampang yang membuat risikan terhadap sebuah motosikal Yamaha 135LC yang disyaki menggunakan plet palsu.

Menurutnya, seorang suspek lelaki berusia 40-an yang didapati menghidupkan enjin motosikal itu diberkas.

"Semakan mendapati motosikal berkenaan dilaporkan hilang di kawasan Pandan Indah di sini, pada 18 Januari lalu," katanya tadi.

Mohamad Farouk berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya menahan seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 24 tahun.

"Hasil serbuan ini, kami berjaya merampas empat motosikal yang dilaporkan hilang menerusi rampasan dilakukan di kawasan Ampang Hilir dan Pandan Dalam Ampang.

"Motosikal yang dirampas adalah model Yamaha 135LC dan Honda EX5 yang dilaporkan hilang di kawasan Ampang serta motosikal Demak Matrix Sport dilaporkan hilang di Kuala Kurau, Temerloh, Pahang," katanya.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah mencuri motosikal untuk kegunaan sendiri selain dijual untuk mendapatkan bekalan dadah.

"Semakan mendapati suspek pertama yang juga penganggur mempunyai 24 rekod membabitkan kes curi kenderaan, pecah rumah dan dadah selain dikehendaki di Pahang mengikut Akta Pencegahan Jenayah.

"Suspek kedua juga mempunyai 24 rekod berkaitan kes samun, curi dan dadah. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379(A)Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 5:47 PM