Peralatan dan motosikal yang dirampas daripada dua lelaki yang disyaki mencuri motosikal di MMR2 Padan Perdana, Ampang. Foto Ihsan PDRM
Peralatan dan motosikal yang dirampas daripada dua lelaki yang disyaki mencuri motosikal di MMR2 Padan Perdana, Ampang. Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang: Polis menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan curi motosikal berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MMR2), Pandan Perdana di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pihaknya menahan suspek berusia 23 dan 20 tahun itu ketika mereka sedang menghidupkan enjin motosikal Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan di lokasi itu pada 3.15 pagi.

"Pemeriksaan di dalam bakul motosikal itu menemui beberapa spanar pelbagai saiz, pemutar skru, satu gergaji besi dan satu komponen (enjin) motosikal.

"Semakan mendapati motosikal dinaiki dua suspek berkenaan dilaporkan hilang di Batu 9 Cheras," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, suspek pertama yang berusia 23 tahun bekerja sebagai mekanik lori dan mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah.

"Suspek kedua pula bekerja sebagai operator kilang dan mempunyai enam rekod jenayah membabitkan kes curi kenderaan serta memiliki komponen motosikal secara tidak sah.

"Ujian saringan awak air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif dadah dan mereka direman bermula kelmarin hingga hari ini," katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu lain yang dipercayai turut terbabit dalam kegitan itu serta pembabitan mereka dalam dan lain-lain kes.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1995," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 5:12 PM