Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Polis menumpaskan Geng Emi yang aktif melakukan kegiatan pecah kedai dan curi motosikal di sekitar daerah ini dengan penahanan tiga lelaki di kawasan Wangsa Maju dekat sini, pada 3 November lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Ehsak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pecah kedai menjual gajet dan aksesori telefon bimbit di Taman Permata di sini, pada hari yang sama.

"Dalam kejadian itu, suspek dipercayai memasuki premis berkenaan dengan mengumpil pintu masuk pada waktu malam.

"Beberapa telefon bimbit, pengecas mudah alih dan kamera papan pemuka yang dianggarkan bernilai lebih RM10,000 dilaporkan hilang dalam kejadian itu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya hari ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan laporan itu, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan yang juga penganggur berusia antara 24 hingga 30 tahun pada 7.40 pagi.

"Kami merampas pelbagai jenis aksesori telefon bimbit dan kereta, pengecas mudah alih, telefon bimbit, jam tangan, peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah seperti kuku kambing, wang tunai RM1,100, satu paket dadah syabu seberat 7.60 gram serta enam motosikal.

"Pemeriksaan terhadap motosikal berkenaan mendapati empat daripadanya adalah kenderaan dilaporkan hilang di daerah ini, Gombak dan Wangsa Maju, manakala dua motosikal lagi didapati nombor casisnya sudah dirosakkan," katanya.

Mohamad Farouk menunjukkan barangan yang dirampas selepas menahan tiga lelaki yang disyaki aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan curi motosikal. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Mohamad Farouk menunjukkan barangan yang dirampas selepas menahan tiga lelaki yang disyaki aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan curi motosikal. Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Beliau berkata, siasatan mendapati kumpulan berkenaan aktif melakukan kegiatan itu sejak awal tahun ini dengan bergerak secara berkumpulan dengan menaiki motosikal.

"Kumpulan ini mensasarkan kedai aksesori telefon bimbit dan gajet pada waktu malam dengan mengumpil pintu masuk premis.

"Selain itu, kumpulan ini turut mensasarkan motosikal yang diletakkan di kawasan perumahan pada waktu malam.

"Dengan penahanan ahli kumpulan ini, kami percaya dapat menyelesaikan tiga kes pecah kedai di daerah ini dan enam kes curi motosikal," katanya.

Menurutnya, semakan dilakukan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah antara empat hingga sembilan kes membabitkan kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan.

"Seorang daripada suspek juga dikehendaki bersabit kes curi kenderaan. Seorang lagi suspek pula pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat.

"Mereka direman selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 November ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah dan curi serta curi kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 12:04 PM