NOORZAINY menyoal pemandu kenderaan di SJR bergerak di Jalan Bagan Luar, Butterworth. FOTO Nur Izzati Mohamad.
NOORZAINY menyoal pemandu kenderaan di SJR bergerak di Jalan Bagan Luar, Butterworth. FOTO Nur Izzati Mohamad.
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Pasar raya terdekat ada, namun segelintir penduduk sanggup menempuh sekatan jalan raya (SJR) untuk membeli barang keperluan di pasar raya lain yang merentasi negeri, semata-mata untuk bersiar-siar.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya mengesan alasan itu diberikan penduduk yang ditahan di SJR sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain alasan lain yang dianggap tidak munasabah.

Katanya, sebanyak 37 kompaun dikeluarkan kerana kesalahan merentas negeri.

"Rata-rata yang cuba merentas negeri ini kebanyakannya dari Sungai Petani, Kedah, mereka memberi pelbagai alasan kurang munasabah termasuk tiada surat kebenaran.

"Ada yang kata mahu membeli barangan keperluan sehingga ke pasar raya di Kepala Batas sedangkan di tempat mereka terlalu banyak pasar raya, yang mana mereka sebenarnya hanya hendak bersiar-siar," katanya selepas meninjau SJR bergerak di Jalan Bagan Luar di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, sehingga semalam, keseluruhan 256 kompaun dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan iaitu 51 kompaun kerana merentas daerah, tidak memakai pelitup muka (66), tidak mengambil suhu dan imbasan MySejahtera (35), tiada penjarakan fizikal (16), tidak merekod butiran pelanggan (14) serta berniaga lebih masa (9).

Katanya, tindakan turut dikenakan ke atas 25 premis perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi.

Mengenai SJR bergerak, beliau memberitahu empat SJR jenis itu dilaksana bagi memastikan orang ramai tidak keluar melebihi radius 10 kilometer (KM), malah ia turut dibantu anggota tentera, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 1:35 PM