Anggota penguat kuasa KPDNHEP Sabah, mengeluatkan notis kepada peniaga menjual barangan elektronik kerana didapati menaikkan harga. FOTO Juwan Riduan
Anggota penguat kuasa KPDNHEP Sabah, mengeluatkan notis kepada peniaga menjual barangan elektronik kerana didapati menaikkan harga. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah mengeluarkan notis terhadap lima peniaga selepas didapati menaikkan harga barang dalam Ops Catut 8.0.

Ops Catut 8.0 yang bermula semalam hingga 8 Februari ini bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pembelajaran dalam talian bagi murid dan pelajar untuk sesi persekolahan yang bermula 20 Januari lalu.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, notis berkenaan dikeluarkan dalam operasi Ops Catut 8.0 yang dijalankan sejak semalam.

Katanya, operasi berkenaan diadakan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga peralatan elektronik berikutan permintaan yang tinggi akibat pembelajaran atas talian.

"Barangan yang terbabit dalam pemeriksaan adalah komputer meja, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon bimbit.

"Setakat ini, KPDNHEP Sabah sudah menjalankan pemeriksaan terhadap lima premis perniagaan dan mengeluarkan lima notis kepada peniaga peralatan elektronik kerana disyaki menaikkan harga," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Georgie berkata, lima notis yang dikeluarkan itu adalah untuk mendapatkan perincian harga jualan dan harga kos barangan bagi tujuan siasatan bagi menyiasat sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau sebaliknya.

"Peniaga yang terbabit diberikan tempoh dua hari untuk membekalkan maklumat yang diarahkan kepada KPDNHEP," katanya.

Sehubungan itu, Georgie mengingatkan kepada semua peniaga supaya tidak menaikkan harga peralatan elektronik secara tidak berpatutan.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Bagi mana-mana pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan ini pula boleh didenda tidak melebihi RM500,000," katanya.

Georgie turut meminta orang ramai supaya menyalurkan aduan ke sembilan saluran aduan pengguna untuk tindakan segera membanteras kegiatan menaikkan harga barang sesuka hati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 6:17 PM