KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2020. Gambar Hiasan penyelidikan tentang vaksin. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2020. Gambar Hiasan penyelidikan tentang vaksin. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Selepas vaksin keluaran Pfizer, Malaysia meneruskan usaha mendapatkan bekalan vaksin dari pengeluar vaksin Russia dan China untuk mengawal Covid-19.

Kali ini, Kementerian Kesihatan (KKM) yang mewakili Kerajaan Malaysia menandatangani dokumen bersama dua syarikat pembekal vaksin iaitu syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. (PLS) dan Duopharma (M) Sdn. Bhd.

Dokumen yang ditandatangani semalam, bagi perolehan sebanyak 18.4 juta dos vaksin yang meliputi 28.75 peratus daripada populasi rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menandatangani bagi pihak KKM, manakala Pengarah Urusan PLS, Datuk Zulkarnain Md Eusope dan Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar, masing-masing mewakili syarikat pembekal terbabit.

KKM dalam satu hantaran dimuatnaik melalui Facebook tadi, menyatakan Syarikat PLS akan membekalkan sebanyak 12 juta dos COVID-19 CORONAVAC, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated yang dihasilkan oleh syarikat dari China, Sinovac Life Science Co. Ltd.

Kenyataan itu menyebut, pembekalan vaksin itu dijangka dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai April ini manakala, Syarikat Duopharma (M) Sdn. Bhd. pula akan membekalkan sebanyak 6.4 juta dos vaksin Sputnik V yang dihasilkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology di Russia.

"Vaksin ini dijangka akan mula dibekalkan secara berperingkat-peringkat mulai penghujung Mac 2021.

"Bagi vaksin COVID-19 CORONAVAC, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated, setiap penerima akan diberikan dua dos suntikan vaksin iaitu suntikan dos kedua adalah selepas 14 hari dari dos pertama.

"Dengan jumlah 12 juta dos ini, KKM menjangkakan liputan program imunisasi kepada 6 juta orang atau 18.75 peratus daripada jumlah populasi di Malaysia, yang berusia 18 tahun ke atas," katanya.

KKM berkata, setiap penerima vaksin Sputnik V pula akan menerima sebanyak dua dos suntikan dengan suntikan dos kedua adalah selepas 21 hari dari dos pertama.

Katanya, jumlah 6.4 juta dos vaksin Sputnik V dijangka dapat diberikan melalui program imunisasi kepada 3.2 juta orang atau 10 peratus daripada jumlah populasi di Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

Kenyataan itu juga menyebut, pembekalan vaksin daripada kedua-dua syarikat itu akan dimulakan selepas mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (Drug Control Authority).

Sebelum ini KKM menandatangani perjanjian pembekalan vaksin dengan syarikat Pfizer dan AstraZeneca dengan jumlah dos vaksin masing-masing adalah sebanyak 24.28 juta dos dan 6.4 juta dos.

KKM berkata, perolehan vaksin-vaksin berkenaan akan diselaraskan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang ketika ini dalam proses akhir mendapat kelulusan Kerajaan.

Katanya, keutamaan Kerajaan adalah menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan Malaysia bebas daripada COVID-19 selain pemulihan ekonomi negara.

"Justeru, perolehan vaksin-vaksin ini membolehkan Kerajaan berada di landasan terbaik untuk mencapai keutamaan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 6:28 PM