PERDANA Menteri mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional secara maya petang tadi. FOTO ihsan FB Muhyiddin Yassin
PERDANA Menteri mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional secara maya petang tadi. FOTO ihsan FB Muhyiddin Yassin
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang turut menyentuh mengenai Proklamasi Darurat.

Dalam catatan di Facebooknya, Muhyiddin berkata, mesyuarat secara sidang video itu turut membincangkan mengenai pengurusan pandemik Covid-19 dan pelan imunisasi vaksin.

"Saya bersyukur mesyuarat yang berlangsung selama lebih kurang dua jam dalam suasana akrab dan muhibah menyambut baik taklimat mengenai Proklamasi Darurat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Norhizan Ismail.

"Pelbagai isu dibincangkan dan kesemua ahli mesyuarat berpuas hati dengan penjelasan dan perbincangan panjang lebar mengenai Ordinan Darurat, pengurusan darurat, pengurusan pandemik Covid-19 serta pelan immunisasi vaksin yang akan bermula Februari ini," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat disertai 12 presiden parti dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Umno, Pas, MCA, MIC, Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) manakala Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) diwakili Timbalan Presiden.

Katanya, Majlis Presiden akan terus menjadi platfom perbincangan tertinggi bagi kesemua parti politik dalam Kerajaan PN demi memastikan kestabilan politik selain kelancaran pentadbiran kerajaan dan menjamin keselamatan, kesejahteraan rakyat serta negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 11:04 PM