Dewan Rakyat
Dewan Rakyat
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul pengungkaian tujuh Ordinan Darurat yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengumumkan kelulusan pengungkaian itu selepas lebih suara Ahli Parlimen bersetuju terhadap usul berkenaan.

Seramai 20 Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan mengungkai ordinan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sesi penggulungan pengungkaian Ordinan Darurat itu berkata, kerajaan dengan tegasnya menolak tohmahan yang Proklamasi Darurat berniat tidak baik dan bertujuan memastikan kelangsungan kerajaan.

Katanya, tanpa Proklamasi Darurat, kerajaan akan menghadapi kesukaran untuk mengambil tindakan yang perlu bagi menangani wabak Covid-19, yang pada ketika itu memasuki tahap kritikal.

"Semua pihak perlu menghentikan tohmahan tidak berasas terhadap kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan Proklamasi Darurat.

"Ini kerana kerajaan mengambil langkah yang difikirkan terbaik pada masa itu untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

"Kerajaan berpandangan jika pemasyhuran Proklamasi Darurat tidak dibuat, keadaan dijangka akan menjadi lebih teruk atau sebaliknya," katanya.

Mengenai cadangan supaya penyalahgunaan pemasyhuran Proklamasi Darurat dibawa ke suatu suruhanjaya seperti Truth Commission, beliau berkata, kerajaan mengambil maklum mengenai perkara itu dan akan mengkaji kesesuaian penubuhannya.

"Berhubung cadangan pindaan Fasal (8) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pemasyhuran Proklamasi Darurat dicabar di mahkamah, ia perlu mendapat keputusan dua pertiga majoriti Dewan Rakyat dan Dewan Negara," katanya.

Selain itu, Wan Junaidi memaklumkan, bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 susulan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sudah pun mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, semalam.

"Cadangan penyediaan pelan tindakan pengurusan pandemik akan disusuli oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan agensi lain yang berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 6:17 PM