FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Lelaki warga Myanmar kerugian hampir RM4,000 selepas disamun tiga lelaki yang menyamar sebagai pegawai Imigresen di Binjai Rendah, Bukit Payong, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira 1.30 tengah hari ketika mangsa berusia 30-an berada di rumahnya sebelum didatangi tiga lelaki tempatan.

Sumber berkata, suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen memaklumkan datang ke rumah mangsa untuk membuat pemeriksaan dokumen.

Katanya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa membenarkan suspek masuk ke dalam rumahnya dan mereka berpura-pura menyemak semua butiran peribadi lelaki itu.

"Salah seorang daripada suspek bertindak mengacukan sebilah pisau di belakang leher mangsa dan memukul badannya beberapa kali.

"Suspek kemudian mengambil wang tunai hampir RM4,000 di dalam beg galas dipegang mangsa sebelum ketiga-tiga suspek melarikan diri," katanya memaklumkan mangsa sudah membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 9:33 PM