GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Seorang lelaki bertindak gila apabila merempuh kedai makan milik abang iparnya di Kampung Binjai Rendah Bukit Payong, di sini, 21 September lalu.

Kejadian berlaku jam 10.55 malam ketika mangsa berusia 46 tahun sedang berkemas di dalam kedainya sebelum terdengar bunyi dentuman kuat di hadapan kedai.

Menurut sumber, mangsa yang terkejut mendengar bunyi rempuhan itu segera keluar lalu ternampak sebuah lori dipandu adik iparnya merempuh kedai.

Katanya, sebaik ternampak kelibat mangsa, suspek berusia 30-an segera melarikan diri bersama lori berkenaan.

"Mangsa yakin adik iparnya sengaja merempuh kedai miliknya kerana sebelum ini suspek yang tidak berpuas hati dikatakan sudah dua kali bertindak merosakkan kedai makan itu.

"Bagaimanapun, mangsa hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu bergaduh namun tindakan suspek kali ini dilihat semakin melampau kerana bukan hanya menyebabkan dia kerugian tetapi mengancam nyawa pelanggan. Mangsa seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 12:27 PM