Sukarelawan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kemamam ketika membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir. FOTO IHSAN ISMA Kemaman
Sukarelawan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kemamam ketika membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir. FOTO IHSAN ISMA Kemaman
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Hampir 80 sukarelawan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kemamam digerakkan bagi membantu operasi pasca banjir di daerah berkenaan yang terjejas menerusi banjir gelombang kelima.

Ahli Jawatankuasa Pemuda ISMA Kemaman, Rusman Toni berkata, tumpuan misi adalah membersihkan kawasan penduduk yang terjejas terutama kediaman warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, tumpuan diberikan kepada golongan berkenaan berikutan kekangan dihadapi golongan berkenaan.

"Dalam misi kali ini, kita berjaya membersihkan 50 kediaman di Taman Koperasi Perdana di Binjai, Kampung Tanjung Bukit Mentok, Taman Binjai Permai, Taman Pandan Sejahtera dan Taman Desa Solehah.

"Selain membersihkan rumah penduduk yang terjejas, kita turut memberikan barangan keperluan harian bagi mengurangkan kesedihan mereka.

"Kita turut mendapat kerjasama sukarelawan daripada Kolej Universiti TATI (TATIUC) dan Kolej Kemahiran Tinggi Malaysia (KKTM) Kemaman.

"Misi ini akan diteruskan mengikut keperluan semasa sebagai salah satu program khidmat sosial persatuan kepada masyarakat," katanya.

Menerusi gelombang banjir kelima yang bermula 3 Januari lalu menyaksikan hampir 14,000 mangsa terjejas membabitkan daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu.

Kemaman menjadi daerah yang paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu lebih 12,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 9:32 PM