MANGSA banjir sedang memilih pakaian terpakai di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MANGSA banjir sedang memilih pakaian terpakai di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Bagaikan pisang goreng panas apabila penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok di sini sibuk memilih pakaian terpakai yang disumbangkan 'insan misteri'.

Rata-rata mangsa banjir memilih pakaian harian untuk digunakan selepas kediaman mereka terjejas akibat gelombang kelima banjir.

Lima tokol baju bundle dari Korea mengandungi pakaian harian dan baju sejuk disumbangkan ahli perniagaan yang enggan dikenali untuk mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Ahli perniagaan terbabit menyumbangkan pakaian itu kerana simpati dengan kesedihan dan kerugian yang dialami mangsa banjir.

Sukarelawan, Khairi Azman Mohamad, 33, berkata, dia bersama dua lagi rakannya menghantar lima tokol baju bundle untuk diagihkan kepada penduduk di situ.

"Kita tahu mangsa banjir menanggung banyak kerugian apabila perabot, barangan elektrik dan pakaian rosak akibat banjir apatah lagi ada antara mereka sudah berulang kali menjadi mangsa.

"Saya hanya menjalankan amanah seorang dermawan dan kami hanya bertindak sebagai sukarelawan untuk membawa bantuan ini kepada penduduk.

"Kami menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda untuk membawa pakaian ini ke PPS di SK Bukit Mentok bagi memudahkan mangsa banjir memilih pakaian yang sesuai untuk mereka.

"Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan semua mangsa yang terjejas akibat bencana ini," katanya.

Menerusi gelombang banjir kelima kali ini, hampir 14,000 orang terjejas membabitkan daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu.

Kemaman menjadi daerah yang paling teruk terjejas membabitkan lebih 12,000 orang ditempatkan di PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 5:40 PM