FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pengulangan sukatan pelajaran 2020 ke tahun ini tidak relevan dilakukan berikutan membebankan pelajar dan murid selain mewujudkan lambakan golongan itu pada pengambilan tahun semasa.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Jasni Md Kechik berkata, murid dan pelajar perlu memasuki kelas mengikut kohort umur semasa mereka.

"Tidak perlu mengulang sepenuhnya, sebaliknya panitia sekolah perlu berbincang dengan pihak sekolah melihat semula contohnya hanya 60 peratus saja pembelajaran pada tahun 2020 berjalan lancar selebihnya tidak berjaya.

"Daripada 40 peratus baki pembelajaran tidak habis itu perlu mengambil kira kemahiran paling minimum pelajar kuasai dan aspek mana yang perlu dititik beratkan.

"Kita juga boleh buat kelas tambahan dalam talian atau latihan ulang kaji saja tidak perlu sampai hendak ulang secara keseluruhan kerana ia akan bebankan lagi mereka dan bertembung dengan pelajar sesi baru," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas cadangan pengulangan semula sukatan pelajaran tahun lalu ke tahun ini berikutan kemungkinan faktor pembelajaran dan pengajaran (PdP) maya tidak dapat dicapai secara sempurna terutama membabitkan pelajar dan murid di luar bandar sepanjang tahun 2020.

Bagi Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, PdP maya perlu diperkasakan bagi membantu pelajar atau murid yang terjejas menguasai semula sukatan pelajaran yang tertinggal pada tahun lalu.

"Proses PdP di rumah itu perlu mengambil kira pembangunan insan menyeluruh termasuk emosi, fizikal dan jasmani, kerohanian serta sosial yang sihat bukan hanya memfokuskan mata pelajaran semata-mata.

"Pada masa sama, pusat rujukan untuk menyelaras dan menangani isu PdP di rumah perlu diwujudkan selain jawatankuasa bertindak segera menyelesaikan cabaran seperti akses Internet, keperluan peranti dan bantuan lain," katanya.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengkaji semula keperluan mengulang semula sukatan pelajaran tahun lalu bagi pelajar atau murid yang ketinggalan.

"Mungkin pihak KPM perlu mengkaji apakah lebih baik pelajar atau murid yang banyak 'hilang' kelas (PdP maya sepenuhnya) mengulang keseluruhan setahun persekolahannya 2020 untuk tahun berikutnya?

"Bagi saya tidak payah ulang, tetapi kita perlu beri masa yang munasabah untuk golongan ini kembali belajar bersemuka dalam kelas dengan guru mereka mungkin mengikut sistem giliran harian di samping kaedah PdP maya di rumah," katanya.

Sementara itu, pakar pendidikan, Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed berkata, kaedah menguji kemampuan pelajar atau murid untuk mengukur sejauh mana tahap penguasaan mereka adalah lebih baik berbanding mengulangi semula sukatan pelajaran sepenuhnya untuk semua pelajar atau murid tahun 2020.

"Adakan ujian khas untuk menilai kemampuan mereka. Jika melepasi 50 peratus biarkan pelajar atau murid itu meneruskan kenaikan darjah atau tingkatan mereka macam biasa tahun ini.

"Bagi golongan yang mencapai paras 50 peratus ke bawah mereka perlu diasingkan dan diberikan kelas pemulihan intensif untuk beberapa tempoh bagi menguasai sukatan pelajaran yang tertinggal tahun lalu sebelum kenaikan kelas seterusnya.

"Kaedah secara bersasar ini adalah lebih bersesuaian dan efektif berbanding kita ulang sukatan pelajaran semua murid dan pelajar sepanjang tahun 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 7:43 PM