Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: "Kami tidak pernah lupa kejadian bah kuning pada 2014 kerana peristiwa itu menyebabkan saya sekeluarga terpaksa menggalas perut dengan nasi kosong serta ikan kering selepas tiga hari berlindung di atas bukit," kata Che Hamat Salleh, 66.

Menurutnya, ketika itu, dia bersama tujuh anak orang dan tiga cucu berpindah di atas Bukit Mambong yang terletak satu kilometer dari rumah selepas melihat rumah jiran berdekatan mula ditenggelami air banjir sehingga paras bumbung.

"Peristiwa bah kuning yang berlaku itu menjadi penanda aras kerana air naik terlalu tinggi secara mendadak dan ia di luar jangkaan.

"Sejak itu, setiap kali musim tengkujuh, saya sentiasa berjaga-jaga kerana bimbang peristiwa berulang dan pada masa banyak pembangunan yang berlaku selain bukit di tarah menyebabkan berlakunya bencana alam tanpa dijangka," katanya ketika ditemui di rumah rakit selepas Program Misi Bantuan Kasih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kampung Mambong, di sini, hari ini.

CHE Hamat Salleh, 66. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
CHE Hamat Salleh, 66. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Terdahulu Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM, Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada penduduk.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah.

Sementara itu, Mohd Sabri Omar, 50, berkata, pada banjir gelombang ketiga pada minggu lalu rumahnya ditenggelami air banjir sehingga paras bumbung.

"Beberapa hari sebelum rumah ditenggelami air banjir, saya yang dibantu penduduk kampung mengalihkan perabot dan semua perkakas rumah untuk diletakkan di sebuah rumah kosong yang terletak di tempat lebih tinggi dan jaraknya hanya satu kilometer dari rumah.

"Setiap kali tiba musim tengkujuh, saya dan keluarga akan sentiasa bersiap sedia kerana rumah kami tidak pernah terkecuali daripada terkena bencana banjir kerana berada di kawasan lembah.

"Selama beberapa hari kami sekeluarga tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia sebelum air surut dan dibenarkan pulang ke rumah," katanya ketika ditemui di Kampung Bahagia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 6:42 PM