Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, di sini, bagi melawat mangsa banjir.

Beliau tiba kira-kira 1.20 tengah hari sebelum mendengar taklimat perkembangan terkini mengenai situasi banjir di Terengganu daripada sektariat pengurusan bencana negeri.

Ahli Parlimen Pagoh itu meluangkan masa kira-kira satu jam untuk bertanya khabar dengan mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan sejak enam hari lalu.

Muhyiddin kemudian menyampaikan sumbangan kit makanan kepada keluarga mangsa yang terjejas.

Sehingga jam 2 petang tadi, seramai 483 mangsa daripada 140 keluarga masih ditempatkan di PPS SK Bukit Mentok.

Seramai 999 mangsa daripada 257 keluarga masih ditempatkan di sembilan PPS iaitu di Dungun dan Kemaman sehingga jam 2 petang tadi.

Menerusi banjir gelombang keempat yang melanda Terengganu sejak Khamis lalu, lebih 8,000 mangsa terjejas dengan Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu lebih 7, 000 mangsa.

Sementara itu, warga emas, Muda Awang, 77, berkata dia sanggup menunggu lebih satu jam semata-mata mahu melihat sendiri pemimpin nombor satu negara itu.

"Saya tahu PM datang ke sini sebab dengar orang bercerita, jadi saya ambil peluang ini kerana bukan senang mahu berjumpa dengan PM.

"Biasa kita hanya dapat tengok PM di televisyen, tetapi hari ini dapat tengok depan mata, terima kasih kerana sudi datang ke Kemaman," katanya yang tinggal di Kampung Pengkalan Pandan, di sini.

MUHYIDDIN meluangkan masa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok. FOTO GHAZALI KORI
MUHYIDDIN meluangkan masa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 3:05 PM