AHLI keluarga Mustafa Razak, 54, sedang membasuh rumah dan barangan yang terjejas akibat banjir di Kampung Bukit Mentok. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
AHLI keluarga Mustafa Razak, 54, sedang membasuh rumah dan barangan yang terjejas akibat banjir di Kampung Bukit Mentok. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Berulang alik ke pusat pemindahan sementara (PPS) sudah menjadi rutin kebanyakan penduduk di Kampung Bukit Mentok, di sini memandangkan kampung berkenaan antara yang teruk terjejas setiap kali musim banjir melanda.

Mustafa Razak, 54, dan sembilan ahli keluarganya yang menetap di Kampung Bukit Mentok, di sini sudah terbiasa dengan situasi yang dialami mereka saban tahun.

Malah, banjir yang dialami menyebabkan perabot dan barangan elektrik rosak membuatkan mereka sekeluarga terpaksa melupakan sofa empuk sebaliknya memilih perabot berasaskan kayu dan menggunakan banyak barangan plastik.

Dalam kejadian Rabu lalu, hujan lebat dan air pasang besar menyebabkan air di hadapan rumah Mustafa melimpah ke jalan dan ia mula naik secara mendadak menjelang jam 10 malam.

"Air naik mendadak disebabkan hujan lebat dan air pasang besar dan kami ambil keputusan untuk berpindah segera.

"Ketika itu, air sudah naik setinggi satu meter dan kita tak boleh jangka air boleh naik setinggi mana.

"Memang penat berpindah tetapi kami sekeluarga sudah biasa cuma bimbang kerana dijangka akan ada fenomena air pasang besar dalam tempoh terdekat selain musim tengkujuh juga masih belum berakhir," katanya.

Kampung Bukit Mentok, di sini antara yang teruk terjejas dengan kebanyakan penduduk ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok sebelum ia ditutup sepenuhnya semalam.

Dalam banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu sejak 3 Januari lalu, lebih 10,000 penduduk di Kemaman terpaksa berpindah ke PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 6:02 PM