Siti Rohana Idris


Tumpat: Musim tengkujuh dan pasca banjir lazimnya sangat ditunggu oleh kaki pancing terutama pemburu udang galah.

Lokasi di sepanjang pulau di delta Sungai Kelantan dikenalpasti sebagai lubuk udang galah yang mengundang kehadiran pemancing tanpa mengira masa.

Bagi pengusaha bot pelancong, Mohd Hussin Deraman, 48, pasca banjir adalah waktu yang ditunggu kaki pancing termasuk dia sendiri yang akan turun ke lubuk di sekitar pinggir Sungai Kelantan.

"Waktu sebegini memang sangat banyak udang galah di kawasan pinggir Sungai Kelantan dan memang menjadi lokasi tumpuan pemancing.

"Selain memancing untuk diri sendiri, saya juga selalu membawa kaki pancing yang menyewa bot pelancong untuk dibawa ke lubuk tertentu untuk memancing udang galah," katanya ketika ditemui di jeti Kok Majid di sini, semalam.

MUSIM tengkujuh dan pasca banjir lazimnya sangat ditunggu oleh kaki pancing terutama pemburu udang galah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUSIM tengkujuh dan pasca banjir lazimnya sangat ditunggu oleh kaki pancing terutama pemburu udang galah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mohd Hussin berkata, aktiviti memancing udang galah bergantung kepada keadaan pasang surut air sungai yang mana jika parasnya meningkat, aktiviti itu tidak dilakukan kerana mengundang risiko.

Dia berkata untuk pasca banjir, aktiviti itu sudah dilakukannya sejak hampir seminggu lalu dan sudah memperoleh antara dua hingga tiga kilogram (kg) setiap hari.

"Biasanya hasil yang saya peroleh ini, pembeli sudah memesan lebih awal tanpa mengira sebanyak mana yang mampu saya pancing dan ia akan dijual pada harga RM70 sekilogram.

"Musim mengail udang galah akan berakhir sekitar Mac atau April dan akan disusuli dengan aktiviti memancing ikan cencaru dan mencandat sotong," katanya.

Dia yang berasal daripada Kampung Chat di sini berkata, khidmat sewaan bot yang dikenakan adalah pada kadar RM150 untuk sehari iaitu bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Selain hasil yang dipancing penyewa sendiri, udang galah yang dipancing Mohd Hussin selaku pemandu bot juga akan diberikan kepada penyewa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 3:19 PM