GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Zaini Othman

AKTIVITI riadah adalah antara medium untuk menjaga kesihatan tubuh badan kita dan senario semasa memperlihatkan rakyat Malaysia kini semakin cakna dan sedar mengenai kepentingan melakukan aktiviti riadah bagi memelihara dan meningkatkan tahap kesihatan mereka.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyakit jantung atau kardiovaskular adalah antara penyebab kematian paling tinggi di negara ini, misalnya statistik pada tahun 2010 melaporkan sebanyak 11,218 kematian dicatatkan.

Antara punca yang menyumbang kepada penyakit jantung adalah tabiat merokok, obesiti, kolesterol tinggi, diabetes atau kencing manis dan gaya hidup tidak aktif.

Melihat kepada faktor gaya hidup yang tidak aktif sebagai penyumbang antara kepada penyakit jantung, ini mungkin menjadi jawapan mengapa rakyat Malaysia mula mengubah rutin harian kepada semakin aktif melakukan aktiviti riadah fizikal dan senaman secara harian atau berkala.

Joging, berlari, mendaki dan berbasikal adalah antara aktiviti riadah kesihatan yang semakin mendapat perhatian dan sambutan pada waktu ini kerana ia boleh disertai oleh pelbagai peringkat umur.

Apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai Jun lalu yang menyaksikan pelbagai sekatan mula dilonggarkan, rakyat menyambutnya dengan teruja kerana mereka mula dapat melaksanakan pelbagai aktiviti riadah dan kegiatan luar.

Tetapi, dalam keterujaan menyertai aktiviti riadah kesihatan seperti ini, aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti ini perlu dititikberatkan kerana apabila ia diabaikan akan menjadi punca kepada berlakunya kecederaan pada diri sendiri, orang di sekeliling ataupun yang lebih dirisaukan adalah kehilangan nyawa.

Kebelakangan ini timbul kembali rungutan masyarakat kepada aktiviti berbasikal di jalan raya yang mengundang risiko kemalangan.

Diakui sekarang, aktiviti menunggang basikal secara berkumpulan di jalan raya menjadi satu trend baharu rakyat Malaysia.

Ibarat nila setitik rosak sebelanga kerana perbuatan sekumpulan kecil atau individu yang kurang bertanggungjawab semasa berbasikal telah menimbulkan pelbagai reaksi dan perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia yang melihat kumpulan berbasikal semakin besar kepala di jalan raya.

Pada suatu ketika, masyarakat menggesa pihak berkuasa memantau aktiviti basikal lajak oleh pelajar kerana ia dikaitkan dengan gejala sosial dan berbahaya.

Kini, masyarakat meminta golongan dewasa yang menunggang basikal juga turut dipantau kerana di media sosial sudah tular pelbagai video dan gambar yang dirakam menunjukkan cara mereka berbasikal berbahaya tanpa mengambil kira aspek keselamatan diri sendiri mahupun pengguna jalan raya lain.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, penunggang basikal harus sedar bahawa mereka juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 apabila melakukan kesalahan seperti menunggang melulu dan berbahaya.

Apabila sudah berbasikal di jalan raya, risiko kemalangan itu pastinya ada kerana pada 2019 sebanyak 201 kes kemalangan melibatkan penunggang basikal direkodkan dengan 107 kes kematian manakala bagi Januari hingga Oktober tahun ini saja, sudah mencatat 56 kematian daripada 137 kes kemalangan yang direkodkan.

Saranan penulis, lakukan aktiviti berbasikal di 'jalan yang betul' seperti nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu sentiasa patuh pada peraturan jalan raya demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain, pilih lokasi yang kurang sibuk dan waktu yang bersesuaian serta memastikan peralatan dan basikal memiliki ciri-ciri keselamatan yang secukupnya.

Selain aktiviti berbasikal di jalan raya, penulis melihat ada juga individu yang menggunakan jalan raya untuk berjoging dan larian santai.

Keadaan ini mungkin disebabkan ketiadaan laluan joging dan larian yang bersesuaian atau ketiadaan taman rekreasi yang dekat dengan kediaman menyebabkan masing-masing menjadikan jalan raya sebagai ganti.

Panduan keselamatan yang boleh dititik beratkan apabila joging dan berlari santai di jalan raya adalah pakai pakaian yang cerah supaya mudah dilihat pengguna jalan raya pada waktu malam, berlari secara melawan arus, lakukan aktiviti ini secara berteman dan elakkan memilih jalan raya yang sibuk atau jalan yang sunyi.

Pematuhan kepada peraturan itu serba sedikit mampu mengelak seseorang itu terbabit dalam kemalangan ketika berada di atas jalan raya.

Penggubalan sebarang undang-undang baharu berkaitan aktiviti riadah di jalan raya pastinya mengambil sedikit masa jika ia hendak dilaksanakan.

Justeru, langkah kawalan yang boleh diambil dalam membendung kemalangan yang membabitkan aktiviti riadah di jalan raya pada waktu ini adalah kempen keselamatan dan pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa.

Paling utama semestinya 'kesedaran kendiri' masyarakat apabila mereka melakukan aktiviti riadah bersama teman atau keluarga di jalan raya.

Bagi penulis, penguatkuasaan undang-undang, kempen kesedaran dan teguran masyarakat bukan untuk mematikan minat terhadap aktiviti riadah golongan itu, tetapi perkara pokok yang perlu kita persetujui bersama adalah aktiviti ini harus dilaksanakan menurut kaedah dan medium yang betul supaya keselamatan semua pihak yang berada di jalan raya terjamin.


Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) Usim

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 6:00 AM