Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Hassan Omar


Melaka: Empat hospital swasta di negeri ini bakal merawat pesakit Covid-19 susulan peningkatan kes sejak beberapa minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, hospital itu adalah Hospital Pantai di Ayer Keroh, Hospital Pakar Putra, Pusat Rawatan Mahkota dan Pusat Rawatan Oriental.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melakukan persiapan termasuk memberi latihan kepada kakitangan perubatan swasta bagi tujuan berkenaan.

"Kerajaan negeri dan KKM menyediakan pelan kecemasan menjadikan Hospital Melaka sebagai hospital Covid-19 atau hibrid Covid-19 sepenuhnya jika peningkatan kes terus berlaku.

"Jika ia dilaksanakan, Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin akan menerima lebih ramai pesakit bukan Covid-19, manakala Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Kolej Kejururawatan Melaka masih mampu menampung pesakit wabak itu.

"Selain itu, kerajaan melaksanakan pengasingan dan pemantauan di rumah untuk pesakit kategori satu (tidak bergejala) dan kategori dua (gejala ringan), selain kuarantin kendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya, KKM turut meningkatkan kapasiti makmal melalui kerjasama dengan pelbagai agensi, universiti dan makmal swasta bagi menjalankan ujian Tindak Balas Rantai Polimerase (RT-PCR) dan 'Antigen Rapid Test Kit' (RTK-Ag).

Rahmad berkata, seramai 3,617 petugas kesihatan berkhidmat di negeri itu namun tenaga kerja masih belum mencukupi disebabkan beban kerja tinggi.

Beliau meminta masyarakat dan majikan untuk sama-sama membantu mengurangkan penularan Covid-19 serta mengenal pasti kontak rapat di kawasan masing-masing supaya tindakan awal dapat diambil.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 11:02 AM