Rosman Shamsudin


Slim River: Hujan lebat berterusan selama 14 jam menyebabkan tiga rumah di kawasan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) dekat Kampung Balun, di sini, dinaiki air, hari ini.

Timbalan Pengerusi RPT, Ahmad Wahab, 62, berkata kejadian itu berpunca apabila Sungai Slim tidak dapat menampung air lalu melimpah ke kawasan perumahan terbabit.

Katanya, air dengan arus deras mulai masuk ke kawasan perumahan itu kira-kira 2 petang tadi.

KEADAAN rumah di kawasan Rancangan Perumahan Tersusun di Kampung Balun yang dilanda banjir kilat akibat limpahan air Sungai Slim dekat sini petang tadi. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
KEADAAN rumah di kawasan Rancangan Perumahan Tersusun di Kampung Balun yang dilanda banjir kilat akibat limpahan air Sungai Slim dekat sini petang tadi. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.

"Dua daripada rumah itu sudah diduduki, manakala sebuah lagi masih kosong dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter.

"Air yang masuk ke dalam rumah itu merosakkan perabot dan barangan elektrik. Kejadian ini pertama kali berlaku pada tahun ini, tetapi tahun lalu sebanyak dua kali banjir melanda," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Ahmad berkata, pihak RPT sebelum ini sudah memohon projek tambatan banjir kepada pihak berkaitan untuk mengatasi masalah banjir yang berlaku.

"Setakat ini belum ada apa-apa tindakan menyebabkan penduduk berharap pembinaan projek tambatan banjir ini disegerakan bagi mengurangkan kejadian banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 7:23 PM