SITI Ratnah mengusap gambar adiknya Azlan Hassan, merupakan mangsa bot tunda karam yang masih belum dijumpai ketika menunggu perkhabaran operasi pencarian di jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 15 Januari lalu. FOTO BERNAMA
SITI Ratnah mengusap gambar adiknya Azlan Hassan, merupakan mangsa bot tunda karam yang masih belum dijumpai ketika menunggu perkhabaran operasi pencarian di jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 15 Januari lalu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Sandakan: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hilang dalam dua tragedi bot karam pada 13 dan 15 Januari lalu di perairan Kuala Kinabatangan Besar dan Kuala Meruap, yang memasuki hari keenam dan keempat tanpa menemukan sebarang petunjuk.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan, Komander Maritim Ahmad Firdaus Shaari berkata, sektor pencarian diperluaskan dari 211 batu nautika persegi kepada 303 batu nautika persegi bagi kedua-dua kes itu membabitkan sembilan agensi.

"Dalam beberapa hari ini, memang kami tidak menemukan apa-apa petunjuk walaupun kami meminta bantuan daripada Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat pencarian melalui udara, sekurang-kurangnya tompokan minyak daripada bot-bot yang tenggelam.

"Namun, itu (tompokan minyak) juga tidak dapat dikesan mungkin kerana faktor cuaca hujan lebat dan ombak yang kuat," katanya ketika ditemui pemberita ketika ketibaan tujuh mangsa yang diselamatkan dari kapal kargo Mermaid Challenger, yang karam di perairan Terumbu Segama di jeti Markas Wilayah Laut 2 Tentera Laut Diraja Malaysia di sini, hari ini.

Ahmad Firdaus turut memberitahu pihaknya belum dapat memastikan sama ada mayat lelaki yang ditemukan dekat Pulau Tambisan pada Sabtu lepas mempunyai kaitan dengan satu daripada kejadian itu.

Menurutnya, mayat diserahkan kepada pihak forensik polis bersama Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti identiti.

Pada 13 Januari lalu, tiga daripada empat kru sebuah bot tunda yang diberi nama Ever Winner hilang ketika bot itu karam di perairan Kuala Kinabatangan Besar.

Dalam kejadian 15 Januari pula, dua nelayan hilang ketika bot pukat tunda yang dinaiki mereka bersama dua lagi kru yang terselamat, terbalik dan karam di perairan Kuala Meruap.

Berita berkaitan

Kapal kargo karam, 7 diselamatkan TLDM [METROTV]

2 hilang bot karam di Lahad Datu

SAR berdepan kesukaran kerana ombak besar

Mangsa selamat terapung 7 jam [METROTV]

Doa seorang ibu

Bot tunda karam, 3 hilang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 3:23 PM