Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Lima nelayan tempatan dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki mereka karam dan tenggelam berhampiran perairan Pulau Perhentian, dekat Besut, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian kira-kira 1 tengah hari itu membabitkan sebuah bot nelayan milik warga tempatan yang dalam perjalanan untuk menangkap ikan.

Katanya, bot itu dinaiki seorang tekong dan empat awak-awak warga tempatan dipercayai karam di perairan Pulau Perhentian.

Beliau berkata, bot itu dimasuki air selepas disyaki bot bocor dan pada masa itu, cuaca buruk.

"Mangsa dikatakan sempat menghubungi tekong sebuah bot lain untuk meminta bantuan kerana bot itu dimasuki air ketika ia berada berdekatan perairan Kelantan," katanya.

Beliau berkata, mangsa masih hilang adalah tekong bot, Tuan Azaha Tengku Long @ Mansor, 46 dari Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh, Kelantan.

"Empat awak-awak dikenali sebagai Ujang, 30, dari Penarik, Setiu, Terengganu; Mamat, 24, dari Tok Bali; Sakri, 30, dari Pasir Puteh dan anak kepada tekong bot Mat Rizal, 21," katanya ketika dihubungi.

Abdul Rozak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 7.15 petang.

"Tindakan dilakukan dengan memaklumkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang segera ke lokasi kejadian.

"Operasi mencari menyelamat disertai 25 anggota APMM Tok Bali dengan sebuah kapal serta tiga anggota polis Balai Polis Pulau Perhentian.

"Setakat ini operasi masih diteruskan untuk mengesan mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 9:50 AM