Ahmad Shabery dan Tajuddin menyaksikan Ismail dan Azam menandatangani ikrar bebas rasuah di majlis Perhimpunan Bulanan dan Majlis Berbuka Puasa MOA di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Ahmad Shabery dan Tajuddin menyaksikan Ismail dan Azam menandatangani ikrar bebas rasuah di majlis Perhimpunan Bulanan dan Majlis Berbuka Puasa MOA di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani menjadi kementerian ke-15 menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam usaha membanteras sebarang elemen jenayah rasuah dan salah guna kuasa di kementerian itu serta agensi di bawahnya.

Majlis menandatangani ikrar dimulakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Bakar manakala, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Azam Baki.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan timbalannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyaksikan majlis menandatangani IBR diadakan pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, kerajaan meletakkan nilai integriti sebagai perkara utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negara ke arah lebih baik.

"Nilai integriti ini bukan hanya bergantung kepada sistem tetapi, lebih menjurus ke arah budaya dan perbuatan yang menolak rasuah serta salah guna kuasa.

"Budaya integriti adalah paling sukar kerana ia berkaitan dengan tingkah laku dan tabiat yang bermula daripada perbuatan harian," katanya berucap pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Azam berkata, senario rasuah dalam perkhidmatan awam pada masa kini berbanding 10 tahun dahulu adalah berbeza serta berada pada tahap membimbangkan.

Katanya, ia berikutan perkembangan ekonomi dan teknologi pada masa kini malah, rasuah yang berlaku turut membabitkan jumlah wang lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 8:56 PM