Siti A'isyah Sukaimi


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengumumkan selewat-lewatnya November ini berkaitan kedudukan senarai kementerian membabitkan isu integriti, rasuah serta salah guna kuasa.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, senarai itu sudah disiapkan serta sedang menunggu untuk diserahkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

"Senarai kedudukan ini sudah disiapkan dan peringkat akhir adalah diserahkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk melihatnya.

"Justeru, mungkin selewat-lewatnya akhir bulan November ia akan diumumkan," katanya berucap pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Kementerian Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Balan Mohan dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikhsan.

Pada 11 Oktober lalu, Dzulkifli dilaporkan berkata, SPRM akan mengumumkan kedudukan senarai kementerian pada hujung tahun ini yang dinilai berdasarkan kriteria membabitkan isu integriti, rasuah serta salah guna kuasa.

Beliau dipetik berkata, langkah itu satu mekanisme baharu dilaksanakan pihaknya bagi memastikan perkhidmatan awam bebas daripada sebarang unsur jenayah berkenaan.

Malah, beliau dilaporkan berkata, senarai kedudukan itu akan diumumkan sama ada November atau Disember ini dan kaedah seperti itu turut dilaksanakan negara lain seperti Korea Selatan dalam membanteras isu rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam pada itu, Shamsun Baharin berkata, sehingga kini, 18 kementerian sudah menandatangani IBR dan SPRM menzahirkan harapan tujuh lagi kementerian dapat melaksanakannya menjelang akhir tahun ini.

Katanya, langkah itu bagi memastikan sesebuah organisasi itu bebas daripada sebarang jenayah rasuah serta salah guna kuasa.

"Ikrar ditandatangani oleh Kementerian Wilayah Persekutuan pada hari ini adalah yang ke-18 daripada 25 kementerian, sekali gus berharap ia dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

"Malah, semua negeri sudah menandatangani IBR kecuali Selangor dan diharapkan ia dapat turut serta (dalam tempoh berkenaan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 1:04 PM