Operasi mencari warga emas yang  dipercayai lemas apabila  terjatuh ke dalam sungai Benus, di belakang Bangunan Pusat Servis Perodua, Jalan Benus, dekat sini pada jam 7.30 malam  semalam.  FOTO Ihsan PDRM  Bentong
Operasi mencari warga emas yang dipercayai lemas apabila terjatuh ke dalam sungai Benus, di belakang Bangunan Pusat Servis Perodua, Jalan Benus, dekat sini pada jam 7.30 malam semalam. FOTO Ihsan PDRM Bentong
Roselan Ab Malek


Bentong: Seorang mekanik lori dipercayai lemas apabila dihanyutkan arus deras Sungai Benus di belakang Bangunan Pusat Servis Perodua, Jalan Benus, dekat sini, pada 7.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa, Tan Kok Meng, 59, ke tempat kejadian untuk membantu rakannya mengikat tali ke sebatang pokok di seberang Sungai Benus untuk menggerakkan jentera penyedut pasir ke tengah sungai.

"Semasa mangsa turun ke Sungai Benus untuk ke seberang bersama tali, dia terus dihanyutkan arus air sungai deras.

"Rakan mangsa tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku dalam sekelip mata," katanya.

Zaiham berkata, selepas menerima laporan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pihak berkuasa dengan jarak pencarian mencecah lima kilometer dari tempat kejadian.

Beliau berkata, operasi bermula 8 malam tadi, namun sehingga 2 petang hari ini, mangsa belum ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 3:36 PM