GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Pemilik butik pengantin yang dicari polis bagi membantu siasatan berkaitan beberapa kes penipuan pakej perkahwinan, akhirnya ditahan di Hentian Plaza Tol Bentong arah barat dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam susulan maklumat diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

"Lelaki itu adalah suspek utama yang dicari polis berkaitan kes penipuan pakej perkahwinan yang berlaku di daerah Bentong dengan tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Suspek kini direman empat hari sehingga 1 November ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Zaiham berkata, pihaknya berterima kasih atas kerjasama masyarakat kerana membantu menyalurkan maklumat sehingga suspek tertangkap.

Terdahulu, Zaiham dalam satu kenyataan Khamis lalu memaklumkan suspek dicari selepas polis menerima dua aduan berkaitan penipuan pakej perkahwinan ditawarkan syarikat 'The Wedding by Fiey' milik suspek membabitkan kerugian RM20,900.

Katanya, dua mangsa, masing-masing ibu pengantin berusia 57 tahun dan pengantin berusia 28 tahun mendakwa terpedaya selepas melihat iklan pakej perkahwinan yang ditawarkan melalui Facebook.

Antara pakej ditawarkan termasuk set pelamin, baju pengantin, pakej persolekan, jurugambar, khemah dan katering.

Zaiham berkata, suspek dikenali sebagai Muhammad Lutffi Iaman Mat Abu, 28, mensasarkan pasangan yang ingin berkahwin di daerah Bentong, Pahang.

"Setelah bersetuju untuk mengambil pakej ditawarkan, mangsa diminta datang berjumpa suspek untuk berunding dan meminta bayaran penuh bagi pakej yang ditempah.

"Selepas mangsa membuat pembayaran penuh atas nama syarikat, suspek terus menghilangkan diri," katanya.

Zaiham berkata, siasatan awal mendapati syarikat itu wujud dan didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bagaimanapun, katanya lokasi butik pengantin dikenal pasti di bandar Bentong didapati sudah tidak beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 9:08 PM