Mohd Rushdi Shafie, 59, (tengah) didakwa atas pertuduhan penipuan pelaburan mata wang kripto dikenali 'AliExchange' diiringi pegawai polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Rushdi Shafie, 59, (tengah) didakwa atas pertuduhan penipuan pelaburan mata wang kripto dikenali 'AliExchange' diiringi pegawai polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Lelaki yang didakwa terbabit dengan sindiket pelaburan mata wang kripto dikenali 'AliExchange' dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd Rushdi Shafie, 59, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Mengikut pertuduhan, Mohd Rushdi didakwa menipu seorang lelaki berusia 52 tahun mengenai pelaburan tidak wujud dan mendorong mangsa membuat pindahan wang ke dalam akaun Maybank milik tertuduh sebanyak RM120,000.

Perbuatan terbabit dilakukan Jalan Wangsamas, Seri Wangsa, Wangsa Maju pada 2.07 petang 5 April 2018.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd Daud Leong Abdullah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 17 Februari tahun depan.

Media sebelum ini melaporkan, polis menumpaskan satu sindiket pelaburan mata wang kripto dikenali 'AliExchange' yang dipercayai mengakibatkan pelabur kerugian RM4.7 juta.

Kejayaan itu berikutan penahanan sembilan individu termasuk dalang utama sindiket berkenaan dalam satu operasi di sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan ibu negara pada 14 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 2:31 PM