Pfizer perlu 6 minggu untuk ‘lawan’ varian baru Covid-19. FOTO AFP
Pfizer perlu 6 minggu untuk ‘lawan’ varian baru Covid-19. FOTO AFP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Perolehan vaksin Covid-19 daripada pelbagai sumber termasuk Pfizer dan AstraZeneca membolehkan pengagihan dibuat mengikut lokaliti dan keupayaan fasiliti yang sedia ada.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata, ia berikutan ada vaksin yang perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celcius manakala ada juga vaksin yang dihasilkan boleh disimpan pada suhu yang tidak terlalu sejuk.

Justeru, beliau berkata, vaksin yang dikeluarkan syarikat farmasuetikal seperti AstraZeneca berkemungkinan boleh dibekalkan kepada penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar, serta disimpan di peti sejuk biasa.

"Untuk Astrazeneca, kita mungkin akan bekalkan kepada penduduk di pedalaman kerana fasiliti Kementerian Kesihatan mempunyai keupayaan sedia ada," katanya pada sidang berkenaan perkembangan perolehan vaksin Covid-19 tadi.

Selain itu, beliau berkata, perbincangan juga sudah diadakan dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai hospital yang berupaya menempatkan vaksin keluaran Pfizer-BioNtech.

"Semalam kita bincang untuk kenal pasti hospital untuk dihantar vaksin Pfizer bagi disimpan pada suhu -70°C," katanya.

Khairy berkata, vaksin keluaran Pfizer dijangka diterima secara berperingkat-peringkat bermula Februari ini manakala sejumlah 6.4 juta vaksin AstraZeneca bakal diterima April ini.

Sementara itu, Khairy yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), berkata pihaknya akan berbincang dengan Pfizer untuk memastikan sebarang vaksin keluarannya yang lebih berkesan terhadap varian baharu Covid-19, VUI202012/01, yang dikesan melanda United Kingdom (UK) ketika ini, turut diperolehi melalui perjanjian sedia ada.

"Mereka sedang mengkaji dan memerlukan sekitar enam minggu untuk melakukan perubahan di dalam kandungan vaksin supaya lebih berkesan. Kita akan bercakap, kalau boleh tukar, adakah ia akan menjejaskan kontrak," katanya.

Malaysia memperoleh 1.28 juta dos vaksin berasaskan BNT162 mRNA dari Pfizer untuk keperluan 6.4 juta orang bermula pada Februari ini.

Minggu lalu, Britain melaporkan varian baharu Covid-19 itu yang mempunyai kadar jangkitan 70 peratus lebih tinggi.

Khairy berkata, Pfizer sebelum ini memaklumkan memerlukan tempoh enam minggu untuk membuat sedikit perubahan bagi memastikan vaksin yang dibangunkannya mempunyai kadar keberkesanan yang tinggi terhadap varian baharu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 8:28 PM